Nama Malaysia di bibir rakyat Palestin walaupun jauh beribu batu
Surat terakhir berupa wasiat dari seorang penduduk Gaza yang telah syahid tersebar di media-media sosial.
Menerusi wasiat yang ditulis Muhammad Abdul Qadir Al-Husseini, dia menyatakan kekecewaannya terhadap pemimpin Arab yang menyebabkan mereka menjalani hari-hari sukar tanpa makanan.
Pemuda syahid itu berdoa agar Tuhan tidak akan memaafkan dan memberkati pemimpin yang berdiam diri.
“Demi Allah, aku akan mengadu kepada Maha Pencipta 7 lapisan syurga perbuatan kau,” tulis wasiat tersebut.
Apa yang menarik perhatian, nama Malaysia disebut dalam surat berkenaan yang menjadi harapan terakhir untuk penduduk di Gaza.
Pemuda syahid itu meletakkan harapan agar Malaysia dan beberapa negara lain tidak mengabaikan Gaza.
“Mesej ku kepada masyarakat Mesir, Yaman, Jordan, Lubnan, Algeria, Sudan, Tunisia & Malaysia:
“Aku meletakkan kepercayaan kepada anda semua untuk tidak mengabaikan Gaza. Aku merayu dan menggesa anda semua untuk melindungi Gaza.
“Aku amat menyayangi kalian semua. Mohon jangan kecewakan harapan kami. Sesiapa yang menjumpai mesej ini, aku mohon sebarkan.
“Aku adalah seorang syahid,” tulisnya.
Hasil carian mendapati surat berkenaan banyak disebarkan di TikTok dan X, dengan ada yang mendakwa ia adalah surat ditulis kanak-kanak berusia 11 tahun.