‘Peruntukan saya sedia digunakan’ – Fahmi

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil akan bertemu Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh bagi membincangkan tentang baik pulih ‘bumbung terbang’ di pangsapuri Putra Ria baru-baru ini.

Fahmi berkata, pertemuan pada petang ini antara lain adalah untuk mempercepatkan kerja-kerja baik pulih pangsapuri yang terletak di Bangsar itu.

”Kerja-kerja baik pulih bagi kedua-dua blok ini dijangka menelan belanja sekurang-kurangnya RM120,000.

”Insya-Allah daripada segi peruntukan ianya tiada masalah. Peruntukan saya sedia digunakan untuk tujuan baik pulih.

”Cuma kita ingin memastikan kerja-kerja baik pulih ini dijalankan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas beliau mengadakan lawatan ke pangsapuri tersebut, hari ini.

Dalam kejadian pada petang Sabtu lalu, bumbung pangsapuri itu dilapor tercabut akibat diterbangkan angin kencang.

Kepingan bumbung zink tersebut kemudiannya jatuh, sebelum menimpa beberapa kereta penduduk yang diparkir di situ.

Susulan kejadian tersebut, Fahmi menyifatkan kerosakan kepada bumbung pangsapuri itu dilihat agak serius.

Menurut beliau, terdapat satu lif di salah satu blok turut terkesan kerana bahagian bumbungnya telah terbuka dan berpotensi dimasuki air ketika hujan.

”Terdapat juga sejumlah kenderaan termasuk lima motosikal dan tiga buah kereta yang mengalami kerosakan akibat terkena bahagian bumbung yang telah jatuh.

”Insya-Allah kepada keluarga-keluarga yang berkenaan, kita akan segera bantu,” ujar beliau yang juga Menteri Komunikasi.

BACA JUGA Mat Sabu lancar buku Husam, beri gambaran hubungan baik

Â