232 cawangan GiatMARA terbuka untuk ribuan pelajar tak duduki SPM

Sebanyak 232 cawangan GiatMARA seluruh negara terbuka untuk ribuan pelajar yang tidak tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) MARA menawarkan latihan kemahiran sehingga ke peringkat tertinggi.

“GiatMARA juga telah mengenal-pasti bidang-bidang baharu yang diperlukan di pasaran termasuk bidang berteknologi tinggi seperti Artificial Intelligence (kecerdasan buatan), IOT, Robotik, Electrical Vehicle (EV), Renewable Energy Vehicle (REV) dan banyak lagi,” katanya.

Menurutnya, program TVET MARA dijalankan dengan kerjasama rapat dengan penggiat industri agar tenaga mahir yang dilatih di GiatMARA terjamin peluang pekerjaan.

“GiatMARA sedang membuat kajian secara holistik semua programnya agar berdaya maju dan mampu menyediakan tenaga mahir mengikut piawaian pasaran dan industri di peringkat antarabangsa.

“Setiap manusia dijadikan Allah punya kekuatan tersendiri. Yang kurang cemerlang dari segi akademik yang berorientasikan membaca dan peperiksaan bertulis, boleh cemerlang dalam bidang kemahiran seperti bidang TVET,” jelasnya.

Asyraf berkata, langkah itu selaras dengan saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara untuk memastikan TVET menjanjikan gaji premium kepada anak muda dan menjadi pilihan utama kerjaya masa depan.

Untuk rekod, seramai 10,160 daripada 383,685 calon SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

BACA JUGA Akal bakal pengundi muda membimbangkan, dah boleh agak rupa ‘content creator’ generasi ini nanti