Individu dakwa ada ‘ustaz selebriti’ kerap merepek dan baca hadith palsu dalam ceramah

Kecoh di media sosial apabila seorang ustaz selebriti yang dikenali ramai didakwa kerap merepek dan menggunakan hadith palsu dalam ceramahnya.

Ia didedahkan seorang pensyarah kanan Jabatan Pengajian al-Quran dan As-Sunnah, Universiti Islam Malaysia yang membuat teguran terbuka kepada pendakwah tersebut, sekaligus memberi peringatan agar orang ramai berhati-hati.

Pensyarah yang dikenali sebagai Abu Hafiz itu turut mendakwa teguran telah dibuat namun ustaz selebriti itu tetap tidak berubah.

“Media dan orang awam perlu sedar bahawa ustaz selebriti itu sangat kerap merepek dan membaca hadith palsu.

“Bukan sahaja riwayat cinta Nabi Muhammad. Bahkan berulang kali bawa cerita palsu mengenai telaga boleh bercakap dengan ahli neraka.

“Ditegur tetap tak berubah,” katanya.

Hasil pemerhatian di media sosial, ada yang mendedahkan ustaz terbabit pernah berhadapan isu penyebaran hadith palsu pada 2014.

Susulan itu, ramai membangkitkan kekhuatiran, bimbang semakin banyak pendakwah yang tidak ahli dalam bidang tertentu tetapi aktif memberi ceramah.

Ia juga dikhuatiri akan memesongkan orang ramai yang percaya dengan hadith-hadith palsu.

Selain itu ada saranan agar lesen penceramah itu digantung buat sementara supaya orang ramai dapat mengetahui adakah benar dia memberi syarahan menggunakan hadith tidak sahih.

BACA JUGA Penyokong rupanya kena tipu, pemimpin Pas tiada pun disenarai Ahli Sunnah Wal Jamaah