Lima kumpulan kongsi gelap lumpuh, 21 diberkas tapi seorang daripadanya masuk IJN
Seorang daripada 21 ahli kumpulan jenayah terancang daripada lima kumpulan kongsi gelap di Selangor yang diberkas mengalami masalah jantung selepas dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN).
Kesemua ahli Geng TR yang mempunyai lima kumpulan terdiri daripada 08, 18, 21, 24 dan 36 itu ditangkap dalam serbuan sekitar Johor, Pahang dan Selangor.
Mereka diberkas dalam serbuan Operasi Lima (Op Lima) oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bermula 3 Mei hingga 30 Mei lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata kesemua terbabit berusia antara 26 hingga 51 tahun.
Menurutnya, mereka aktif dalam kegiatan bunuh, dadah, pemerasan dan khianat dengan api.
“Semua mereka dari lima ahli kumpulan berbeza ini didapati aktif dalam kegiatan jenayah terancang di sekitar Selangor sejak tahun 2019.
“Pada masa ini kita mengesyaki sekurang-kurangnya 10 lagi ahli daripada lima kumpulan yang sama sudah lari menyembunyikan diri apabila menyedari ahli-ahli lain sudah diberkas,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, seramai 18 ahli kumpulan terbabit ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan ditahan selama 28 hari manakala dua lagi ditahan reman.
“Hari ini 18 daripada mereka dituduh di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Klang, manakala dua lagi individu disambung reman.
“Seorang daripada mereka akan direman dalam masa terdekat selepas disahkan mengalami masalah kesihatan akibat jantung selepas dihantar ke Institut Jantung Negara,” jelasnya.
JSJ Bukit Aman menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14) dan Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), katanya, sedang giat mengesan saki-baki ahli kumpulan kongsi gelap terbabit dalam usaha memastikan keselamatan dan ketenteraman awam kekal terpelihara.
Dalam masa sama, beliau turut mengulas mengenai modus operandi lima kumpulan jenayah terbabit yang dianggap berbeza berbanding sebelum ini.
“Pada masa ini, mereka tidak lagi melakukan upacara angkat sumpah seperti kumpulan-kumpulan kongsi gelap lain, sebaliknya hanya memberikan arahan tugasan kepada setiap ahlinya.
“Sebagai contoh, ketua atau pemimpin sebuah kumpulan akan mengarahkan ahlinya melakukan tugas pemerasan, pengedaran dadah atau melakukan pembunuhan,” kata Mohd Shuhaily lagi.
BACA JUGA Penyokong rupanya kena tipu, pemimpin Pas tiada pun disenarai Ahli Sunnah Wal Jamaah
Â