Penyokong dakwa Ronaldo ucap bismillah sebelum ambil sepakan percuma

Sejak berpindah ke bumi Arab Saudi untuk menyertai Al-Nassr FC banyak perubahan yang berlaku terhadap bintang dunia bola sepak, Cristiano Ronaldo.

Menerusi satu video tular, Ronaldo dikatakan menyebut Bismillah sebelum mengambil sepakan percuma ketika perlawanan Al Nassr menentang Al Ittihad pada semalam.

Kamera ketika itu merakam Ronaldo dari jarak dekat.

Pemain Portugal itu kemudiannya mendongak ke atas dan mulutnya menyebut sesuatu sebelum melakukan sepakan percuma pada minit ke-66.

Pengguna media sosial cuba membaca gerakan bibir pemain itu dan mendakwa Ronaldo sebenarnya mengucapkan bismillah.

“Cristiano Ronaldo sebelum mengambil tendangan bebas: Bismillah,” ciapan di akaun SimplyGoal di laman X.

Video Ronaldo mendapat banyak komen daripada pengguna media sosial yang menganggap Ronaldo semakin dekat dengan Islam dan ada juga yang mengatakan sebenarnya pemain itu menyebut ‘wish me luck’.

“Semoga Allah membimbingnya kepada Islam,” tulis seorang pengguna laman sosial.

“Dia berkata ‘wish me luck’,” tulis seorang lagi pengguna laman sosial dengan emoji ketawa.

Ini bukan kali pertama Ronaldo dipercayai mengucapkan Bismillah kerana Pemenang lima kali Ballon d’Or itu pernah didakwa melakukan perkara sama ketika mengambil sepakan penalti untuk pasukan negaranya pada perlawanan kelayakan Euro 2024 menentang Slovakia.

Malah, Ronaldo juga sudah terbiasa dengan budaya di Arab Saudi apabila sering dilihat mengenakan jubah dan serban selain mengucapkan assalamualaikum ketika berjumpa rakan sepasukan Al-Nassr.

BACA JUGA Pelik isi minyak lama sangat, sekali terbongkar kegiatan seleweng diesel untuk pasaran gelap