Google sah akan melabur lebih RM9 bilion di Malaysia, ini yang Anwar jawab

Google hari ini mengesahkan komitmen pelaburannya berjumlah RM9.4 bilion (AS$2 bilion) bagi mewujudkan pusat data pertama dan wilayah Google Cloud di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik komitmen dinyatakan dan menyifatkan pengumuman pelaburan langsung asing ke Malaysia itu adalah bukti perencanaan kerajaan yang jelas.

Ia juga membuktikan kekuatan ekonomi serta sumber negara yang menjadi tarikan kepada pelabur sedia ada dan baharu.

”Nescaya, ini meletakkan Malaysia sebagai antara negara utama dalam penggunaan dan perkhidmatan sokongan bagi perkhidmatan berteraskan teknologi digital.

”Hari ini, Google iaitu sebuah syarikat teknologi utama dunia mengesahkan komitmen pelaburan sebanyak USD2 bilion bagi menyokong agenda kerajaan dalam mempercepat dan melicinkan transformasi digital negara.

”Pelaburan ini juga dijangka akan membawa kesan berganda kepada ekonomi Malaysia sekitar USD3.2 bilion dan pewujudan sebanyak 26,500 pekerjaan menjelang tahun 2030,” tulis beliau di laman Facebooknya.

Dalam pertemuan secara maya bersama pengurusan kanan Google pada 6 Mei lalu, Anwar memaklumkan, beliau telah menekankan selain dukungan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara umum, kerjasama strategik juga perlu ditumpukan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan pertanian.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ia penting bagi memastikan Malaysia dapat memanfaatkan kemahiran dan pendekatan berteraskan teknologi terkini.

Menurut kenyataan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), wilayah Google Cloud di Malaysia akan menyertai 40 wilayah dan 121 zon yang kini beroperasi di seluruh dunia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan di peringkat tempatan dan global, selain program celik AI (kecerdasan buatan) untuk pelajar serta pendidik Malaysia.

“Komitmen terbaharu oleh sebuah lagi gergasi teknologi global kepada Malaysia ini menjadi pencapaian penting dalam visi kerajaan MADANI untuk menarik lebih ramai pelabur digital ke negara ini, bagi membantu membina ekonomi yang dikuasakan oleh digital yang kukuh dan selamat,” maklum kenyataan itu.

BACA JUGA Biar betul Pahang dah berjaya nokhtahkan miskin tegar? Ini pengakuan mengejut MB