Pas beri bayangan mahu letak calon di Kelantan pula jika PRK diadakan

Pas sekali lagi memberi bayangan akan meletakkan calon mewakili Perikatan Nasional (PN) di Kelantan sekiranya kerusi Parlimen Gua Musang dan Jeli, serta DUN Nenggiri sah dikosongkan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK).

Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah krisis PN membabitkan enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN daripada Bersatu yang mengisytiharkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata perancangan itu bagaimanapun tertakluk kepada proses rundingan dan perbincangan bersama rakan komponen utama dalam PN iaitu Bersatu.

“Sudah pasti, Pas sentiasa bersedia jika diberi laluan dan sudah pastinya kita akan berbincang sebab ada beberapa pandangan dalam kalangan gabungan ini jika berlaku PRK di kawasan berkenaan.

“Wujud persoalan adakah Bersatu akan mengekalkan calon mereka di semua kerusi berkenaan atau mungkin ditandingi parti lain seperti mana di Kuala Kubu Bharu sebelum ini.

“Macam di PRK Kuala Kubu Bharu lalu kerusi itu adalah milik Gerakan, namun di dalam PRK itu Bersatu yang bertanding,” katanya kepada media seperti dilapor BH semalam.

Mohd Amar yang juga Speaker DUN Kelantan berkata segala perancangan yang cuba diusahakan sekiranya berlaku PRK pada enam kerusi Parlimen dan satu DUN itu tetap akan ada perubahan tetapi ia bergantung kepada perbincangan yang dilaksanakan bersama.

BACA JUGA PM lulus RM20 juta beli pam atasi masalah air petani Kelantan

Â