Ramai pelajar tak hadir SPM termakan dakyah pempengaruh, tak belajar pun boleh buat duit
Kebanyakan pelajar yang tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah terpengaruh dengan dakyah segelintir pempengaruh media sosial yang mendakwa boleh berjaya dan kaya tanpa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mereka juga terjebak dengan ‘tawaran menarik’ kerjaya sebagai pempengaruh kerana dengan mudah boleh meraih pendapatan tanpa memerlukan kelulusan.
Kata Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim, kebanyakan pelajar ‘mengidolakan’ pempengaruh kerana mereka lihat ‘kerjaya’ ini mudah menjana pendapatan hanya dengan membuat ulasan produk.
“Mereka ini nampak jadi pempengaruh boleh buat ulasan produk, tak perlu belajar pun boleh menjana pendapatan.
“Tidak kurang juga ada merasakan mereka tak perlu duduki SPM kerana sudah boleh raih duit poket lumayan dengan menjadi penghantar makanan.
“Jika diikutkan memang rugi apabila persekolahan dari darjah satu hingga tingkatan lima itu berakhir begitu (tidak ambil SPM), namun dari sudut pandang mereka yang tidak minat, tidak cenderung akademik dan tiada bimbingan betul, tempoh itu hanya (sebahagian) masa yang perlu dijalani dalam hayat mereka,” katanya menurut Bernama.
Turut senada Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya Dr Abd Razak Zakaria yang menyifatkan segelintir remaja masa kini bagaikan tidak peduli tentang masa depan kerana merasakan pendidikan di sekolah belum tentu menjamin kehidupan.
“Mereka terpengaruh (kehidupan menerusi media sosial), merasakan kehidupan sudah terlalu selesa dengan apa yang mereka ada, sedangkan jika berjaya mendapat sijil SPM, laluan kerjaya dan masa depan pasti lebih berkualiti dan bermakna.
“Sepatutnya rakyat Malaysia lebih mengejar pendidikan dan menjadikannya sebagai alat untuk membina masa depan yang lebih baik, memacu negara lebih cemerlang, gemilang dan terbilang,” katanya.
Abd Razak berkata kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memandang serius situasi pelajar gagal menduduki SPM dan tidak mempunyai sijil peperiksaan awam itu dengan menyifatkan ia patut ditangani segera kerana keperluan untuk mendapatkan pekerjaan adalah pengetahuan serta kemahiran.
BACA JUGA Biar betul Pahang dah berjaya nokhtahkan miskin tegar? Ini pengakuan mengejut MB