Sudahlah pendapatan tidak menentu, Cliff Umar rupanya miliki heroin

Walaupun pendapatan tidak menentu disamping perlu menanggung anak-anak yang masih bersekolah, memiliki dadah jenis heroin rupanya bukanlah satu halangan.

Juara program realiti, Gegar Vaganza musim ke-7 (GV7) 2020, Cliff Umar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas pertuduhan memiliki heroin.

Pemilik nama sebenar, Abdullah Umar Joseph, 42, itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.

Ayah kepada empat orang anak itu didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 0.39 gram di tepi Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya pada pukul 3.30 petang, 26 Mei lalu.

Ekoran itu, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran memohon tarikh baharu bagi sebutan laporan kimia dan mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000.

Dalam rayuan memohon jaminan rendah, peguam Sallehuddin Salam mewakili Cliff Umar berkata, anak guamnnya menanggung isteri dan empat anaknya yang masih bersekolah.

“Anak guam saya bekerja sebagai pemain muzik dan pendapatan tidak menentu,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM3,300 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan laporan kimia ditetapkan 31 Julai depan.

BACA JUGA Lonjakan majikan baharu, Perkeso lanjutkan pendaftaran dan caruman pekerja hingga 30 Jun