Ini rupanya cara guna aplikasi DELIMa untuk tebus baucar buku RM100
Murid dan pelajar kini sudah boleh menebus baucar buku yang bernilai hingga RM100 melalui aplikasi DELIMa Kementerian Pendidikan (KPM) mulai jam 2 petang tadi.
KPM memaklumkan, murid atau pelajar dikehendaki mendaftar masuk (log masuk) aplikasi DELIMa menggunakan Dokumen pengenalan diri (ID) dan kata laluan masing-masing sebelum menekan ikon Kota Buku Digital untuk tujuan penebusan.
“Seterusnya, murid atau pelajar perlu mendaftar akaun di Kota Buku Digital dan kredit akan dipapar di akaun masing-masing.
”Murid atau pelajar boleh memilih judul yang disukai daripada kepelbagaian judul yang ada terutama daripada Judul Cadangan Madani.
“Setelah selesai memilih, murid atau pelajar dikehendaki daftar keluar (check-out) dan memilih pilihan bayaran kredit e-kedai (e-store credit),” maklum kenyataan itu, hari ini.
Dalam kenyataan sama, turut dimaklumkan bahawa buku yang dibeli akan dihantar ke alamat yang didaftarkan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 bagi pelajar Tahap Dua sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).
Beliau berkata, baucar berkenaan boleh dituntut melalui mekanisme yang akan diumumkan, mulai jam 2 petang ini.
Bagi tahun ini, pemberian baucar itu dimulakan dari pelajar Tahun Empat untuk mengurangkan tekanan kewangan kerajaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan berita baik itu ketika berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
BACA JUGA Akhirnya kerajaan bakal kembalikan baucar buku pelajar, jangan terlepas tarikh tuntut
Â