Terjawab kenapa kerajaan rugi RM4.5 juta sehari, rupanya stesen minyak jadi dalang seleweng diesel

Siapa sangka di sebalik kegiatan penyelewengan diesel yang menyebabkan kerajaan kerugian RM4.5 juta sehari, rupa-rupanya sebuah stesen minyak dilaporkan berkomplot membiarkan kegiatan itu berlaku.

Perkara itu terbongkar selepas serbuan dilakukan di sebuah stesen minyak yang sudah menjadi lokasi kegiatan penyelewengan diesel. Lokasi itu bagaimanapun tidak diedahkan.

Serbuan dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berdasarkan hasil risikan dan tinjauan di lokasi-lokasi yang dikesan menjadi kawasan khas kepada aktiviti penyelewengan diesel.

Ketua Sektor Operasi Seksyen Penguatkuasaan KPDN Selangor, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, serbuan menerusi Ops Tiris dijalankan kira-kira jam 1 tengah hari itu mendapati terdapat sebuah lori tangki dipercayai membuat pengisian minyak selama hampir satu jam di stesen minyak terbabit.

“Pemeriksaan mendapati terdapat 12 transaksi dibuat dalam satu-satu masa dan melibatkan ribuan liter pengisian diesel,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, lori tangki berkenaan turut diubah suai pada bahagian struktur badan dipercayai untuk diisi diesel yang dibeli daripada stesen-stesen minyak untuk tujuan penyelewengan.

“Turut ditahan adalah pemandu lori berumur lingkungan 50-an dan dua lelaki warga asing berumur 30-an yang merupakan pekerja stesen minyak terbabit,” katanya.

Menurutnya, lori tangki, diesel dan pelbagai dokumen perniagaan berkaitan turut disita.

“Jumlah keseluruhan sitaan melibatkan kira-kira RM500,000 termasuk keseluruhan diesel mencecah 10,000 liter dengan nilai subsidi melibatkan puluhan ribu ringgit.

“Tindakan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 itu memfokuskan dalam mengenal pasti individu, syarikat dan rantaian pengedaran bekalan diesel berkenaan,” katanya.

BACA JUGA Pelik isi minyak lama sangat, sekali terbongkar kegiatan seleweng diesel untuk pasaran gelap

Â