Tiada istilah anak tak menjadi, Fadhlina kongsi kisah anak sulung ‘from zero to hero’
Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 telah diumumkan pada 27 Mei lalu, sekali gus menamatkan penantian mendebarkan seramai 395,870 calon yang mendudukinya.
Usai keputusan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tempoh hari, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek juga tidak terkecuali memberi reaksi beliau berhubung perkara berkenaan.
Dalam satu catatan di Facebook, beliau menasihati golongan ibu bapa agar bersabar dengan proses kejayaan anak-anak dan sentiasa memperkukuhkan ekosistem psikososial sokongan keluarga walau apa pun keputusan dicapai anak mereka dalam peperiksaan.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu menyifatkan, tiada istilah anak tidak menjadi, tetapi kemenjadian anak itu adalah sebuah proses yang panjang iaitu memanusiakan manusia.
Katanya, apa yang penting ketika ini adalah membantu anak-anak mempersiapkan diri mereka untuk perjalanan seterusnya.
Dalam catatan sama, beliau turut berkongsi sekelumit kisah kecil mengenai anak sulungnya yang sering digelar sebagai from zero to hero oleh suaminya.
”Sebagai ibu bapa, kami telah bersepakat bahawa kami akan mendukung ekosistem psikososial anak-anak sebagai yang utama bermula dengan paradigma tauhid dan kemudiannya diikuti yang lain-lain.
”Pastinya dengan kehadiran enam orang cahaya mata, setiap anak harus kami angkat ‘karamah insaniah’ mereka dalam pendekatan yang berbeza, namun teras dan nilai fundamental harus tetap teguh.
”Anak sulung biasanya menjadi medan ujian pertama yang diangkat sebagai kejayaan parenting dan semua nasihat, panduan serta endorsement masyarakat akan diuji kepada mereka,” tulis beliau dalam laman sosialnya itu.
Menyambung kisah berkenaan, Fadhlina berkata terdapat satu perkara yang beliau belajar daripada anak sulungnya itu bahawa dalam apa jua keadaan, kepercayaan beliau dan suami tetap utuh bahawa anaknya itu akan bersinar apabila tiba masanya.
”Maka saya dan suami harus sabar mendukung, mencipta ekosistem dan terus berdoa. Barangkali memang ada waktunya anak berasa terpinggir kerana tidak pernah menaiki pentas untuk menerima sebarang hadiah akademik, ketika adiknya saban tahun bergelar pelajar terbaik.
”Maka bermulalah proses kami menjaga ekosistem psikososial dan sokongan anak-anak dengan lebih kuat.
”Tiada tekanan untuk apa-apa kejayaan, yang ditumpukan adalah ‘man jadda wajada’ (siapa yang berusaha, dia akan mendapat kejayaannya) dan kita semua adalah kartika di langit seni masing-masing.
”Maka di atas pentas yang berbeza, anak-anak kita akan bersinar dalam ruang yang mereka paling selesa.
”Mungkin seni, sukan, falsafah, menyusun kertas, memasak, melipat kain, membuang sampah dan mengikut kita ke pasar (nanti saya kongsikan kisah anak lelaki saya apabila pulang dari pasar).
Menurut Fadhlina yang juga Ketua Wanita Keadilan, kecekalan dan resilience memaknai ‘man jadda wajada’ mula kelihatan ketika keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) anak sulungnya, malah keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) juga di luar jangkaan.
“Kelmarin, anakanda berkongsi keputusan peperiksaan beliau dan pencapaian anugerah dekan.
“Saya meminta izin untuk berkongsi sedikit kisah ini daripada anak saya untuk refleksi perjalanan kami yang sentiasa berkongsi semua perasaan bersama.
“Saya fikir, setelah sekian lama, anak sulung saya telah menemui rentak kehidupannya,” katanya dalam catatan itu.
BACA JUGA Akhirnya kerajaan bakal kembalikan baucar buku pelajar, jangan terlepas tarikh tuntut
Â