Terkini: Ini tempoh tahanan reman dihadapi ibu bapa Zayn Rayyan

Ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai di sini, tahun lalu, direman selama tujuh hari.

Perkara berkenaan disahkan peguam yang mewakili mereka iaitu Mahmud Abdul Jumaat ketika ditemui selepas prosedur reman tamat di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, tadi.

Menurut Mahmud seperti dilapor BH, tangkapan dan reman ke atas ibu bapa Zyan itu dibuat berdasarkan perkembangan terbaharu daripada siasatan pihak polis.

”Kedua-dua orang yang disiasat (OYDS) direman tujuh hari bermula hari ini hingga 7 Jun ini,” katanya.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat kanak-kanak itu ditemukan di kawasan saliran air kira-kira 200 meter dari kediaman keluarganya di apartmen itu oleh orang awam yang menyertai operasi mencari mangsa.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Sehari sebelum itu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 6.30 petang oleh keluarganya.

BACA JUGA Gempar ibu bapa Zayn Rayyan tiba-tiba ditahan, ini respon pihak polis