1.8 juta pengunjung PBAKL bukti ekonomi negara kukuh, penerbit untung berganda, ada lepasi sasaran 200 peratus

Ekonomi era kerajaan MADANI yang baik menyaksikan lebih 1.8 juta pengunjung menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024.

Daripada jumlah itu, 70 hingga 80 peratus daripada mereka adalah golongan muda yang hadir sepanjang 10 hari berlangsungnya PBAKL ke-41 kali ini.

Pengunjung yang membanjiri program tahunan itu juga membolehkan penerbit mengaut keuntungan berkali ganda malah melepasi sasaran.

Antaranya, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang mengucapkan terima kasih kepada pengunjung dan pembeli lantaran jauh melepasi sasaran jualan.

“Tahniah penganjur PBAKL2024. Kami telah melepasi sasaran jualan 200 peratus. Terima kasih juga pengunjung/pembeli di reruai kami,” kata PNM.

Tinjauan Harapan Daily pada hari kedua terakhir sebelum PBAKL melabuhkan tirai turut menyaksikan pesta buku berkenaan menjana ekonomi sekitar.

Mereka termasuklah peniaga makanan yang menggunakan kenderaan saji atau food truck di pekarangan Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur yang tidak menang tangan melayan pembeli.

Jumlah penumpang pengangkutan awam terutama Transit Aliran Ringan (LRT) di Lembah Klang juga meningkat. Aliran penumpang yang keluar dari stesen LRT PWTC tidak putus-putus sebelum PBAKL dibuka jam 10 pagi lagi.

Dalam masa sama, Sunway Putra Mall yang bertentangan dengan WTC juga dilihat menjadi tumpuan orang ramai terutama pemandu kenderaan.

Walaupun jam 11 pagi, kesemua petak parkir di aras bertingkat gedung beli-belah itu sudah penuh sekali gus memaksa ramai lagi pemandu yang baru tiba untuk keluar semula mencari parkir berbayar di sekitar WTC.

Penganjuran PBAKL kali ini yang jatuh pada musim cuti sekolah juga merancakkan kunjungan murid bersama bas rombongan selain dibawa ibu bapa dan penjaga masing-masing.

Penerbit Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) yang turut dikerumuni pencinta dan pembeli buku antara 972 reruai dengan 241 pempamer dalam PBAKL tahun ini.

Lebih 3,000 naskhah “Hadis 40 Imam an-Nawawi: Sebuah Huraian Untuk Dunia Semasa” contohnya, Berjaya dijual di PBAKL yang berlangsung sejak 24 Mei.

Sementara itu, penerbit The Patriots pula memaklumkan tiga buku keluarannya yang paling laris sepanjang PBAKL 2024 iaitu Angkasa Raya, Kitab Tamadun Mesir Purba dan Psychology of Money.

Kemeriahan PBAKL 2024 dengan penjualan ratusan ribu judul buku itu tentunya diharap dapat melahirkan generasi berilmu, berfikiran kritis dan berwawasan yang tidak mudah diumpan dengan adu domba politik dan fitnah bertopengkan kaum dan agama.

BACA JUGA Pembangkang salah guna isu Kg Sri Makmur demi rebut jawatan parti