Maut semasa pertunjukan udara

Seorang juruterbang maut selepas bertembung dengan sebuah pesawat ketika pertunjukan udara di selatan Portugal semalam.

“Tentera udara dengan sedih memaklumkan pada 4.05 petang (1505 GMT), ketika Pertunjukan Udara Beja, dua pesawat menjadi mangsa kemalangan ketika demonstrasi udara yang membabitkan enam pesawat,” menurut kenyataan tentera udara.

Jurucakap tentera udara memberitahu mangsa adalah warga Sepanyol yang merupakan juruterbang sebuah pesawat yang terbabit dalam perlanggaran itu.

Seorang lagi juruterbang warga Portugal cedera ringan dan menerima rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke Hospital Beja.

Menteri Pertahanan Portugal, Nuno Melo menyifatkan ia sebagai kemalangan tragis dan memberitahu pemberita siasatan akan dibuka untuk mengenal pasti punca perlanggaran itu.

Sementara itu, Presiden Marcelo Rebelo de Sousa berkata, pertunjukan yang sepatutnya menjadi detik menyeronokkan bertukar menjadi situasi yang memedihkan.

Lapor AFP memetik tentera udara berkata, enam pesawat tersebut adalah milik kumpulan aerobatik terdiri daripada juruterbang Sepanyol dan Portugal yang dinamakan sebagai Yak Stars.

Pesawat yang berlanggar ialah Yakovlev Yak-52, model latihan aerobatik rekaan Soviet.

Menerusi rakaman video tular di media sosial, enam pesawat sedang membuat persembahan di udara, dengan satu daripadanya bergerak naik, sebelum dilihat bergesel dengan satu daripada pesawat lain sebelum terhempas ke tanah.

Tentera udara berkata, sebuah pesawat terhempas di luar kawasan pangkalan udara sementara pesawat kedua yang terbabit dalam nahas itu berjaya mendarat di landasan lapangan terbang dan tiada penonton menjadi mangsa.

Pesawat bertembung ketika pertunjukan udara di Portugal semalam.

Menurut laman web Beja Air Show, Yak Stars sudah mengambil bahagian bersama kira-kira 30 kumpulan aerobatik Eropah yang lain.

Penganjur menggelarkan mereka sebagai kumpulan aerobatik awam terbesar di selatan Eropah.

Tentera udara berkata, penganjur pertunjukan di Lapangan Terbang Beja sudah menangguhkan acara itu, yang bermula kelmarin.

BACA JUGA Pembangkang salah guna isu Kg Sri Makmur demi rebut jawatan parti