Selepas keahlian enam MP dan ADUN digugurkan, Bersatu ambil tindakan ini pula
Selepas keahlian enam Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) digugurkan dari parti secara automatik, Bersatu akan menghantar notis berkenaan kekosongan kerusi kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris, notis kekosongan itu akan dihantar oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam tempoh terdekat.
Jelasnya, kerusi Parlimen itu kosong selepas enam Ahli Parlimen Bersatu menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala ADUN Selat Klang menyokong Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
“Notis kekosongan kerusi kepada Johari akan dihantar selepas enam Aahli Parlimen berkenaan gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti dalam tempoh 14 hari seperti ditetapkan.
“Notis kekosongan kerusi Parlimen itu bertepatan dengan pindaan ke atas Fasal 10, Perlembagaan BERSATU yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” katanya, lapor BH.
Enam Ahli Parlimen itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dr Zulkafperi Hanapi dan ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari, sebelum ini dimaklumkan sudah terhenti secara automatik keahlian parti, selepas mereka menyertai kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
BACA JUGA Pas sarung pakaian mirip PDRM
Â