Berapa harga lembu korban tahun ini?

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, harga lembu untuk ibadah korban masih sama seperti harga tahun lalu.

Menurutnya, jika ada pun kenaikan atau penurunan harga lembu korban mungkin berlaku di beberapa kawasan sahaja.

Jelasnya, harga satu bahagian korban sempena Aidiladha setakat ini masih sekitar RM750 hingga RM850 ke atas dengan anggaran seekor lembu sekitar RM5,000 dan ke atas.

“Dulu, memang ada kes harga lembu murah disebabkan kemarau, Sungai Golok kering, cetek, lembu diseludup, pakai heret lembu ikut sungai.

“Kita memang nak murah tapi kena lihat daripada sudut kesihatan, keselamatan juga,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Latihan kerja Rasmi dan Perasmian HL Agro Farm KB Sdn Bhd Bersama Komuniti Penternak dan Peladang Kelantan 2024 di Kampung Sri Kemunting, Gunong, di Bachok, hari ini.

Dalam masa sama, Mohamad yakin pihak berkaitan seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Veterinar dan agensi lain yang berkaitan melaksanakan kawalan undang-undang bagi mengekang aktiviti sedemikian.

Katanya, lembu seludup dibimbangi boleh mendatangkan bawaan penyakit kepada ternakan lain dan lebih berbahaya memberi kesan penyakit kepada manusia.

Ini berikutan, ternakan mungkin tidak divaksin atau mendapat penjagaan dan pemakanan yang baik.

“Setakat makluman kita juga, bekalan lembu korban untuk Aidiladha tahun ini adalah mencukupi,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Pembantu penguasa kastam didakwa 90 pertuduhan terima rasuah lebih RM80,000

Â