Hentikan sebarang spekulasi kes bunuh Zayn Rayyan – Pengarah JSJ Bukit Aman
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menggesa semua pihak untuk memberi ruang kepada pihak polis melakukan siasatan terperinci berhubung kes bunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Beliau berkata, pihaknya sedang sedaya upaya merungkai kes terbabit dan meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi.
“Saya nak cakap dekat sini hentikan sebarang spekulasi, biar pihak polis menyiasat perkara ini.”
“Seperti yang saya kata sebelum ini, kita tidak akan berhenti menyiasat sehingga kes ini berjaya dirungkaikan,” katanya, dipetik Buletin TV3.
Terdahulu, Shuhaily menjadi panel dalam Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2024 di ibu negara hari ini.
![](https://harapandaily.com/wp-content/uploads/2024/06/Zayn-Rayyan-1-e1717321420514.jpeg)
Mengulas lanjut beliau berkata, permohonan lanjutan reman ke atas ibu bapa Zayn Rayyan akan dibuat jika diperlukan.
Pasangan suami isteri itu ditahan pada jam 10.05 pagi, 31 Mei lalu oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Kedua-duanya kemudian dibenarkan ditahan reman selama tujuh hari sehingga 7 Jun ini bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, polis semalam memanggil bekas pengasuh Zayn Rayyan dan dua ahli keluarganya juga dipercayai bagi membantu siasatan ke atas kes Zayn Rayyan.
Kes Zayn Rayyan, 6, diklasifikasikan sebagai bunuh hasil bedah siasat ke atas mayatnya yang ditemui pada 6 Disember lalu, sehari selepas dia dilaporkan hilang.
BACA JUGA Heboh anak pelanggan termakan daging babi panggang, ini ulasan mufti