Pyanhabib dijemput Ilahi pada ‘usia subsidi’
Penyair tersohor, Pyanhabib Rahman, 66, meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang, Selangor malam ini.
Berita pemergian seniman itu dimaklumkan isterinya di Facebook sebentar tadi.
“Suami saya Pyanhabib yang anda kenal sudah tiada, kembali pada pencipta-Nya.
“Maafkan kesalahannya, doakan yang baik-baik untuknya,” kata beliau.
Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman ada menyebut tentang ‘usia subsidi’ sempena hari ulang tahun kelahirannya pada 27 Mei lalu.
“Nabi Muhammad SAW wafat pada usia 63 tahun dan saya hidup pada usia subsidi diberi Allah. Allahu!” tulisnya yang merupakan catatan terakhir beliau di Facebook.
Pyanhabib sejak 1970-an sangat sinonim dengan perkumpulan seni di Padang Merbok, Anak Alam sebelum membintangi 10 buah filem dan juga telefilem.
Seniman yang berasal dari Taiping, Perak ini juga pernah selama 20 tahun bergelar wartawan dan 10 tahun sebagai penyunting.
Penampilan pemuisi berkenaan menerusi filem Kembara Seniman Jalanan (1986) paling mengesankan dengan membawa watak Osman Tikus.
Penyair unik juga memenangi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam Festival Filem Malaysia keenam menerusi filem Tsu Feh Sofiah (1986) namun menolak anugerah tersebut.
Allahyarham yang mula meminati dunia puisi seawal usia belasan tahun dikenali umum membacakan sajak di Kuala Lumpur sejak 1980-an selain di pentas acara.
Beliau turut mendokumentasikannya sebagai kumpulan puisi yang mulanya diterbitkan dan dijual sendiri pada 1982.
Karya yang beliau hasilkan berdasarkan pemerhatiannya terhadap isu semasa dan kerap mengkritik ahli politik sejak zaman bekas Perdana Menteri keempat.
Antara kumpulan puisi Allahyarham ialah Balada Pyanhabib (2012) dan Melukis Puisi: Sebuah Pencitraan Puisi-Puisi Pyanhabib (2015).
BACA JUGA Heboh anak pelanggan termakan daging babi panggang, ini ulasan mufti
Â