Terus terima geran tahunan, MB Kelantan akui Kerajaan Persekutuan tak pernah sekat

Sejak diamanahkan menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud mengesahkan Kerajaan Persekutuan tidak pernah menyekat pemberian geran tahunan kepada negeri berkenaan.

Beliau berkata, pemberian geran tahunan daripada Kerajaan Persekutuan itu terus diterima tanpa sekatan sejak mengetuai negeri tersebut.

“Sejak saya diamanahkan menjadi menteri besar (geran) tidak pernah disekat,” katanya lapor BH.

Mohd Nassuruddin menjawab soalan tambahan daripada Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Penggal Kedua yang diadakan hari ini.

Mohd Syahbuddin dalam soalan tambahannya ingin mengetahui sama ada Kerajaan Persekutuan ada menyekat mana-mana geran peruntukan untuk negeri berkenaan.

Susulan pemberian geran itu, Mohd Nassuruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau memberitahu bahawa geran tahunan yang diterima itu adalah dalam bentuk geran perkapita iaitu geran jalan, geran marris dan geran lain yang berkaitan.

”Bagi 2019, geran yang diberikan adalah sebanyak RM272.55 juta, manakala pada 2020 geran diberikan RM296.98 juta; RM317.65 juta pada 2021, RM346.91 juta pada 2022 dan RM354.02 juta pada 2023.

“Anggaran geran bagi 2024 belum dapat diberikan kerana tertakluk kepada dasar yang ditetapkan kerajaan dari semasa ke semasa,” ujar beliau lagi.

BACA JUGA Pembantu penguasa kastam didakwa 90 pertuduhan terima rasuah lebih RM80,000