Jenazah Pyanhabib selamat dikebumikan

Jenazah Allahyarham Pyanhabib, 66, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 di Hulu Kelang, pada jam 11.25 pagi tadi.

Pengebumian Tokoh Puisi Kuala Lumpur 2022 berkenaan dihadiri kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga, rakan seni dan kenalan rapat.

Sebelum itu, jenazah seniman terkenal dengan nama sebenar, Mohd Supyan Abdul Rahman diurus dan disembahyangkan di Masjid As-Sobirin, di Hulu Kelang.

Hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

Antara artis dan kenalan lain yang memberi penghormatan terakhir adalah Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Dr Ras Adiba Radzi, Ito, Aris Ariwatan, Imuda, Khir Rahman, Ameerul Affendi dan Farid Kamil.

Malaysia dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Pyanhabib yang menghembuskan nafas terakhir di kediamannya, di Hulu Kelang.

Allahyarham aktif menulis dan membaca puisi sejak 1976 bersama perkumpulan seni di Padang Merbok, Anak Alam.

Penampilan beliau yang memegang watak Osman Tikus bergandingan dengan M. Nasir dalam filem Kembara Seniman Jalanan pada 1986 paling diingati ramai.

Seniman yang berasal dari Taiping, Perak ini juga pernah selama 20 tahun bergelar wartawan dan 10 tahun sebagai penyunting.

Beliau turut mendokumentasikan karya sebagai kumpulan puisi yang mulanya diterbitkan dan dijual sendiri pada 1982.

Puisi nukilan Allahyarham berdasarkan pemerhatiannya terhadap isu semasa dan kerap mengkritik ahli politik sejak zaman bekas Perdana Menteri keempat.

Antara kumpulan puisi Allahyarham ialah Balada Pyanhabib (2012) dan Melukis Puisi: Sebuah Pencitraan Puisi-Puisi Pyanhabib (2015).

Pyanhabib turut muncul dalam filem Tsu Feh Sofiah (1986); Rozana Cinta 87 (1987); Tak Kisahlah Beb (1989); Mat Som (1990); Rock Oo! (2013); Apokalips X (2014) dan Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium (2015).

BACA JUGA Lepas SPM keluar, 22 badan biasiswa menanti pelajar cemerlang