Ringkas tapi bermakna, ini sebenarnya maksud di sebalik tema Hari Kebangsaan 2024

‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini.

Perkara tersebut diumumkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada Majlis Pengumuman Logo dan Tema HKHM 2024 di Putrajaya, hari ini.

Malaysia Madani bererti tunjang kemakmuran dan kemajuan negara melalui dukungan enam nilai teras utama.

Jiwa Merdeka pula bermakna kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif,” katanya.

Menurut Fahmi yang juga jurucakap kerajaan, apabila tiba Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, itulah waktunya untuk rakyat di negara ini bukan hanya mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi memaknai erti kemerdekaan.

Tambah beliau, bagi memenuhi takwim sambutan HKHM, Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 akan diadakan pada 13 Julai ini.

“Signifikan majlis pelancaran ini adalah bagi mengira detik menuju sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos di Putrajaya.

“Seterusnya, momentum kemeriahan dan semangat patriotik akan terus disuburkan hingga sambutan Hari Malaysia 2024 pada 16 September di Sabah,” katanya.

BACA JUGA Demi redakan keadaan, Ustaz Don Daniyal direhatkan