Budi Madani disalur 10 Jun, siapa tiada akaun bank ini cara nak tuntut

Penerima inisiatif Budi Madani tanpa akaun bank boleh menuntut bantuan secara tunai, maklum Kementerian Kewangan (MOF).

MOF menjelaskan, tuntutan boleh dibuat dengan cara membawa MyKad ke cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia.

“Pemohon yang berkelayakan juga masih boleh mendaftar untuk menerima Budi Madani.

“Permohonan yang dibuat dalam bulan Jun 2024 layak menerima bayaran untuk bulan tersebut dan bulan seterusnya.

“Permohonan yang dibuat selepas bulan Jun 2024 hanya layak menerima bayaran yang bermula pada bulan Julai 2024 dan tidak akan mendapat bayaran untuk bulan Jun 2024,” jelas kenyataan itu hari ini.

Dalam kenyataan sama, turut dimaklumkan lebih 30,000 pemohon individu, petani, dan pekebun kecil komoditi telah diluluskan untuk menerima bantuan subsidi tunai melalui inisiatif tersebut pada 10 Jun 2024.

Katanya, bantuan tunai pertama sebanyak RM200 akan disalurkan melalui akaun bank penerima.

Untuk rekod, Budi Madani adalah usaha kerajaan untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan layak di mana ia terbahagi kepada tiga pecahan.

Ia adalah bantuan individu (BUDI Individu), petani serta pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi) selain syarikat dan kenderaan pengangkutan (MySubsidi Diesel).

BACA JUGA Hadis palsu: Terpulang, saya tiada niat selewengkan rakyat Malaysia – Ustaz Don