Ini sebabnya perlu segerakan wajib daftar akaun media
Oleh NORMAN RADZUAN
Kawan kata semakin galak saya menghentam ‘lebai’. Jawapan saya bukan membenci tetapi memandaikan umat dengan cara saya walaupun saya bukan di kalangan orang cerdik pandai.
Cuma kekurangan saya agak keras tidak seperti mentor saya Hamka dan Za’ba yang penuh dengan sinis dan baik tutur katanya.
Apapun saya mahu jadi seperti kedua-duanya, seorang insan kerdil yang sama-sama menyeru ‘biasakan yang betul, betulkan yang biasa.’
Tahukah anda hampir setiap hari atau minggu ada sahaja yang DM saya. Macam beberapa hari lalu, mereka beritahu ada konsert XPDC di Terengganu dan Kedah.
Sebenarnya, saya pun tidak kisah sangat dengan konsert tersebut. Yang kita marah di tempat mereka boleh diadakan konsert, malah konsert lucah dibolehkan.
Namun, di negeri-negeri lawan mereka muncul manusia ‘terpaling’ melarang konsert tersebut dengan pelbagai kecaman dan hasutan.
Pada zaman ‘lebai’ boleh jemput artis pengamal LGBT di zaman Kerajaan sekarang tidak boleh jemput artis yang terbuka kepada LGBT.
Kerajaan Pulau Pinang benarkan sambutan pesta songkran haram tapi di negeri Kedah malah YB mereka meraikan songkran halal.
Di kalangan lebai ramai cerdik pandai sebenarnya tetapi mereka hanya pandai mengambil peluang atas kebodohan umat Melayu yang layu apabila dicandu dengan agama.
Sebab itu dalam kehidupan pentingnya membaca. Perkara pertama diajar kepada Rasulullah atau wahyu pertama adalah Iqra bermaksud ‘BACALAH’. Allah nak beritahu, kita perlu membaca.
Hanya dengan membaca baru kita berilmu. Ilmu yang diperolehi itu mesti disertai dengan pemikiran kritis. Apa itu pemikiran kritis?
Ringkasnya ia bermaksud tidak mudah terus menerima atau bersetuju terhadap sesuatu perkara. Kemudian mempertimbangkan baik buruk sesuatu perkara dahulu.
Dalam Islam disuruh tabayyun. Dalam ayat Al Quran ada sebut tentang kebodohan yang akan membuat manusia menyesal jika tidak tabayyun.
Pemikiran kritis kita perlu analisis, tafsiran, penilaian dan logiknya. Kata Mathama Ghandi kehebatan pemikiran seseorang itu bukan bergantung kepada apa yang dibaca atau didengar tetapi juga pada kemampuan individu untuk mengembangkan pemikiran kritis dan analitis mereka sendiri dari ilmu bacaannya.
Contoh ayat mudah jika pilih Islam akan terhapus dosa yang lalu dan akan datang. Maksudnya lepas ini berzina, tak solat, makan rasuah, fitnah orang dosa-dosa itu terhapus begitu sahaja? Sebab itu agaknya Harakah padam kenyataan Tuan Ibrahim.
Itu yang kita marah dan sebab itulah kita nasihat jangan tunggang agama. Lihat di negara kita krisis perkauman di peringkat sangat serius.
Orang Melayu apa sahaja mengenai bangsa Cina akan diserang. Segala makian kepada bangsa ini semakin menjadi-jadi yang tidak pernah berlaku selepas kejadian 13 Mei.
Bangsa Cina juga sudah mula melawan hasil provakatif tersebut. Kebencian antara kedua-dua kaum terbesar ini mudah menular di zaman media sosial. Sebab itu, kerajaan melalui agensi mereka MCMC mesti bertindak agresif.
Kerjasama PDRM dan MCMC sangat diperlukan sebelum api perkauman ini hanya menunggu masa untuk meletus.
Hanya ada satu penyelesaian yang telah diamalkan di banyak negara iaitu segerakan mewajibkan daftar akaun media sosial menggunakan kad pengenalan.
Ini sahaja formula untuk mengawal setiap individu yang aktif dalam online (netizen) berhati-hati dengan apa yang dimuatkan di media sosial.
Kita mahu masyarakat Malaysia yang menyuarakan pandangan mesti bertanggungjawab dengan fakta dan data mereka berikan. Di mana mereka boleh dikenalan tindakan undang-undang yang keras.
Ini kerana bukan sahaja bahaya kepada isu perkauman tetapi juga untuk mengawal anak-anak daripada menonton filem porno dan terdedah menjadi mangsa scammer.
Anda mesti ingat Malaysia adalah negara kedua di dunia yang ‘ketagih’ media sosial. Selama ini terlalu banyak fake account pemilik media sosial yang tidak berwajah di Facebook, X dan sebagainya.
Mereka boleh menyelamatkan diri daripada sebarang tindakan undang-undang jika mereka memberikan maklumat palsu atau memainkan isu 3R.
Kita mesti jadikan mereka masyarakat bertanggungjawab atas perbuatan mereka.
Berbalik kepada isu utama saya, dalam proses memandaikan umat, saya tertarik kata-kata menarik ini dari negara jiran Indonesia.
Bunyinya lebih kurang begini, “Jika bodoh ada baiknya belajar agar lebih pandai. Akan tetapi bila sudah pandai jangan membodohkan orang lain. Itu dinamakan kurang ajar.”
Sebab itu, saya katakan kerja ulama atau pemimpin ialah memandaikan umat bukan membodohkan umat.
BACA JUGA Bekas pemimpin Pas tegur 10 sikap melampau yang bercanggah dengan Islam