Mengejutkan! Wanita warga emas rugi lebih RM4 juta sebab tertipu dengan skim ini

Seorang wanita warga emas berusia 63 tahun terpaksa berputih mata apabila kerugian lebih RM4 juta selepas terpedaya dengan tawaran skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pesara sebuah syarikat swasta itu membuat laporan berhubung pelaburan tidak wujud pada jam 12.32 tengah malam tadi.

“Pengadu kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan Whatsapp dan diminta untuk membuka satu akaun pelaburan iaitu Foreign Direct Investment (FDI) Hub.

”Ia bertujuan untuk melabur dalam pasaran saham tempatan yang mana dia dijanjikan keuntungan sebanyak 11 hingga 13 peratus daripada nilai pelaburan yang dibuat.

“Selepas melihat peningkatan peratusan keuntungan yang diperolehi dalam pelaburan tersebut, mangsa tertarik seterusnya membuka akaun dengan FDI Hub dan membuat 42 transaksi berjumlah keseluruhan RM 4,749,214.

“Setelah keuntungan mencapai sebanyak RM11.3 juta, pengadu mahu membuat pengeluaran wang daripada sistem berkenaan, tetapi mendapati tiada sebarang kemasukan wang ke akaun bank miliknya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, wanita itu melaporkan melihat iklan pelaburan saham di laman Facebook pada pertengahan Mac lalu.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat, dan juga hendaklah dikenakan denda.

Justeru Mohd Iqbal menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan pelaburan saham, cryptocurrency atau apa – apa jenis pelaburan yang ditawarkan atas talian melalui media sosial, yang kononnya menawarkan pulangan keuntungan yang besar dalam masa yang singkat.

“Orang ramai diingatkan agar membuat pelaburan di platform yang sah dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan segera menghubungi mana-mana balai polis atau talian hotline PDRM untuk pertanyaan jika mendapati ada iklan-iklan atau tawaran pelaburan atas talian yang mencurigakan,” ujar beliau lagi.

BACA JUGA Amalan kerja tangani beban kerja petugas di hospital disemak semula

Â