TV3 mohon maaf isu pengajaran Sains dan Matematik

TV3 memohon maaf susulan berita yang disiarkan menerusi Buletin Utama semalam mengenai isu pengajaran Sains dan Matematik di beberapa sekolah di Pulau Pinang.

Dalam menjelaskan kekhilafannya, pihak editor memaklumkan bahawa tajuk pada laporan tersebut tidak tepat dan boleh menimbulkan kekeliruan.

“Justeru, tindakan segera diambil untuk menarik balik laporan itu sejurus kami dimaklumkan mengenainya.

“Kami memohon maaf atas kekhilafan yang tidak disengajakan dan sedang mengambil tindakan susulan untuk memastikan kesilapan sebegini tidak berulang,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, Lembaga Sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di Pulau Pinang mahu anak mereka belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Mereka terbabit mahu Program Dwibahasa (DLP) dalam subjek Sains dan Matematik dilaksanakan tanpa syarat agar ibu bapa bebas membuat pilihan untuk anak-anak mereka.

DLP yang bermula sejak 2016 membolehkan pengajaran Sains dan Matematik dilaksanakan dalam bahasa Inggeris.

Namun, KPM mulai tahun ini menguatkuasakan pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua SMJK.

BACA JUGA Amalan kerja tangani beban kerja petugas di hospital disemak semula

Â