Gara-gara ‘ganggu’ remaja 15 tahun, doktor kena tahan
Gara-gara dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun, seorang doktor ditahan di Parit, Perak pada 4 Jun lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah, laporan tersebut dibuat oleh remaja berkenaan di Balai Polis Bota, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah kira-kira pukul 9.14 malam.
Beliau berkata, remaja berkenaan memberitahu dia telah diganggu secara seksual oleh seorang lelaki dipercayai doktor semasa mendapatkan rawatan di wad kecemasan sebuah hospital di Parit.
“Ekoran daripada laporan polis tersebut, kira-kira pukul 2 petang kelmarin (4 Jun), sepasukan pegawai polis dari IPD Perak Tengah telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki bergelar doktor untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Jelasnya, suspek telah direman untuk siasatan lanjut, dengan kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Hafezul berkata, mangsa tersebut berada dalam keadaan stabil.
“Justeru, sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan dengan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Mohamad Zulkarnain Jusoh di talian 013-9740294,” tambahnya lagi.