Kes cukai bocor RM3.5 bilion: Pengarah syarikat, tiga penguat kuasa antara tujuh ditahan

Tujuh individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang yang mengakibatkan ketirisan cukai dianggarkan bernilai kira-kira RM3.5 bilion.

Dua wanita dan lima lelaki berumur sekitar 30 hingga 50-an ditahan dalam Ops Transit lewat petang semalam di beberapa lokasi sekitar Pelabuhan Klang, lapor BH menurut sumber.

Katanya, Mahkamah Majistret Putrajaya menetapkan supaya semua suspek yang terdiri daripada tiga pegawai agensi penguat kuasa, seorang pengarah syarikat dan tiga pekerja syarikat direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

“Sindiket ini dipercayai membuat pengisytiharan palsu dalam Borang Kastam bagi mengelak dikenakan cukai dan pengimportan barangan yang memerlukan permit daripada beberapa agensi seperti Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

“Dalang sindiket ini ialah seorang warga Singapura yang sedang bercuti bersama keluarga di luar negara dan daripada tangkapan itu SPRM telah membekukan sembilan akaun bank milik syarikat dan individu-individu terbabit,” dipetik BH.

Kelmarin, operasi SPRM bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah berjaya menahan 19 kontena yang mengandungi pelbagai barangan import membabitkan anggaran kasar termasuk cukai berjumlah kira-kira RM10 juta.

Susulan pemeriksaan, lima daripada kontena itu didapati mengandungi pelbagai jenis barangan bercukai termasuk lampu LED, lampu solar dan tin daging babi yang diproses, sedangkan semua kontena itu diisytihar sebagai barangan import termasuk kerusi roda dan tekstil, bagi mengelak dikenakan cukai.

BACA JUGA Pemandu e-hailing biadab hina Islam dan negara sedang diburu polis

Â