Ngeri terkurung dalam tempat simpan beg, kaki terseret tapi kena marah pemandu bas pula

Seorang pelajar universiti hanya mampu meraung dan menangis kesakitan apabila dimarahi pemandu bas selepas dia terperangkap di tempat simpan beg dengan kedua-dua belah kakinya terjulur keluar dan terseret di atas jalan raya.

Menerusi laman X, @shafiyyah_nurul berkongsi pengalaman ngeri betisnya tersangkut itu yang hanya disedari pemandu bas terbabit selepas lima minit kenderaan itu meneruskan perjalanan.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 2 Jun lalu jam 9.30 malam, sejurus tiba di Terminal Bas Shah Alam, Seksyen 17 di Shah Alam dari Terminal Bas Larkin Sentral, Johor Bahru.

“Waktu itu saya sudah tiba di Shah Alam. Jadi, saya nak ambil beg di tempat penyimpanan di ruangan bawah bas.

“Tiba-tiba pintu tertutup dan saya (tubuh badan) masih lagi di dalam, namun kaki di luar.

“Bayangkan sebaik sahaja dia (pemandu bas) tutup pintu, bas terus bergerak. Sudah tentu jari kaki terseret di jalan tar,” ceritanya.

Kata @shafiyyah_nurul lagi, dia menjerit untuk meminta pertolongan tetapi tiada sesiapa yang mendengarnya.

“Bayangkan, macam mana saya terseksa di bawah itu dengan betis tersangkut pintu, jari kaki bergesel dengan jalan raya,” keluhnya.

Semasa terperangkap itu, Nurul Shafiyyah sempat membuat panggilan telefon kepada ibu bapanya untuk meminta pertolongan.

Tidak lama kemudian, jelasnya, pemandu bas memberhentikan kenderaan di bahu jalan, lalu memarahinya kerana tidak meminta tolong untuk mengambil beg di tempat penyimpanan barang itu.

“Waktu itu saya meraung dan menangis sahaja tanpa melawan kata-kata pakcik itu (pemandu bas).

“Kemudian pakcik itu membawa saya ke klinik selepas menghantar penumpang lain di Klang,” katanya.

Dalam masa sama, Nurul Shafiyyah dalam reaksinya terhadap salah seorang penumpang bas yang sama dinaikinya mengakui amat terkilan kerana tiada sesiapa dapat mendengar jeritannya di tempat simpanan beg itu.

“Telefon mak pun, mak jauh. Mampu menangis meraung je kat bawah (bas) tu,” tulisnya.

Ekoran kejadian itu, Nurul telah membuat laporan polis tetapi dia tidak mengetahui tindakan selanjutnya yang boleh dilakukan untuk menuntut pampasan di atas kecederaan dialami akibat kecuaian pemandu bas terbabit.

BACA JUGA Jaga-jaga hujan, ribut petir petang ini