Pembunuhan karakter politik: Ini ‘kesilapan’ Hamzah
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menyifatkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin melakukan ‘kesilapan’ susulan pendakwaan terhadap anak Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu.
“Kesilapan Hamzah adalah apabila menganggap Kerajaan Madani hari ini adalah sama seperti kerajaan dahulu iaitu menggunakan jentera kerajaan sebagai alat untuk mengekang musuh politik.
“Ketua Pembangkang harus ingat bahawa KP SPRM yang ada pada hari ini adalah KP SPRM yang sama dalam kerajaan terdahulu.
“Apakah Hamzah tidak yakin kepada KP SPRM yang dilantik oleh Presiden partinya sendiri?
“Atau dalang pembunuhan karakter seperti yang didakwa itu sebenarnya berpunca dari orang dalam partinya sendiri?” kata Kamil menerusi laman X.
Beliau yang juga bekas calon PKR di Padang Rengas berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Hamzah yang menyifatkan pendakwaan terbaru ke atas anaknya pada 5 Jun sebagai siri perancangan pembunuhan karakter politik.
Hamzah mendakwa tindakan itu dilakukan selepas segala usaha Kerajaan PH-BN pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memperalatkan pelbagai agensi kerajaan bagi mencipta naratif, persepsi serta mengada-adakan pertuduhan politik ke atas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk ke atas dirinya gagal.
“Tak dapat tanduk, telinga dipulas. Ini merupakan taktik lapuk yang memperlihatkan kemandulan Kerajaan PH-BN dalam usaha terdesak mereka menutup mulut para pengkritik dengan menyasarkan pemimpin Perikatan Nasional dan ahli keluarga mereka.
“Saya percaya akhirnya kebenaran akan mengatasi kebatilan dan kezaliman,” kata Hamzah lagi yang juga Ketua Pembangkang.
Pada 5 Jun lalu, anak Hamzah, Muhammad Faisal, 40, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah RM100,000.
Faisal dituduh menerima wang berkenaan daripada Izmir Abd Hamid yang didakwa sebagai bayaran untuk Heitech Padu Bhd (Heitech Padu) melantik Syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan Syarikat Per My Solutions sebagai perunding pemasaran.
Menurut pertuduhan,kesalahan itu dikaitkan dengan Heitech Padu yang dikatakan diberi tender RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk pembekalan, penyewaan, pelaksanaan, latihan, sokongan dan penyelenggaraan infrastruktur keselamatan.
Anak Hamzah itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat dekat Publika Shopping Gallery, Jalan Dutamas 1, di sini pada Mac 2018.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda lima kali ganda nilai rasuah atau RM10,000, mana lebih tinggi.
Bagaimanapun, Faisal mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM25,000.
Hakim turut memerintahkan dia menyerahkan pasport sehingga kes selesai, selain menetapkan 5 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Ini kali kedua Faisal dihadapkan ke mahkamah selepas pada April tahun lalu, dia didakwa dan kemudian mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan kes seleweng minyak masak bersubsidi di Mahkamah Sesyen Seremban.
BACA JUGA Gara-gara ‘ganggu’ remaja 15 tahun, doktor kena tahan
Â