Selepas tular bergaduh di kedai runcit, dua lelaki ditahan

Selepas rakaman video pergaduhan di sebuah kedai runcit tular di media sosial, dua lelaki yang terlibat dalam aksi tumbuk menumbuk itu sudah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya mengesan satu video memaparkan insiden pergaduhan di Seberang Jaya, Pulau Pinang melibatkan dua lelaki itu kira-kira jam 9.45 pagi semalam.

“Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 3 Jun, pada kira-kira pukul 11.50 malam di sebuah kedai runcit.

“Ketika kejadian, pekerja di premis itu didatangi dua pelanggan lelaki yang salah seorang mereka meminta mengambil minuman keras.

“Bagaimanapun, berlaku perselisihan faham antara pelanggan berkenaan dengan pekerja terbabit sehingga mereka bertumbuk dalam premis itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pergaduhan itu kemudiannya berlarutan sehingga ke luar premis apabila pelanggan yang tidak berpuas hati kemudian memukul belakang kepala pekerja kedai itu dengan topi keledar.

“Salah seorang daripada mereka cedera ringan di muka.

“Polis menahan kedua-dua individu terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 dan 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya lagi.

Sejak 4 Jun lalu, tular dua klip video di media sosial memaparkan kejadian pergaduhan antara dua individu di dalam dan luar sebuah kedai runcit.

Salah seorang pelanggan yang didapati dalam keadaan mabuk bersama seorang jurujual kemudian bertumbuk dan memukul antara satu sama lain sebelum situasi itu dileraikan orang awam.

BACA JUGA Cuba masuk Malaysia, kontena Israel diarah berpatah balik ke Thailand