‘Apa salah Ustaz Don sampai kena maki hamun?’ – Ustaz Kazim

Pendakwah Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim berharap agar orang ramai tidak terus menghukum anak muridnya, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan memberi peluang kepadanya untuk menjernihkan semula keadaan.

“Dalam isu ini, kita kena ada kelapangan hati. Bagi pihak masyarakat pula, janganlah terus menghentam Ustaz Don seolah-olah tidak pernah berbuat baik.

“Apa salah Ustaz Don sampai kena maki hamun. Kalau betul salah, kita berjumpa dan nasihat dengan baik,” katanya dipetik BH.

Dia berkata demikian pada tayangan perdana dan sidang media filem lakonannya, Zim Zim Ala Kazim di GSC The Starling, di Petaling Jaya, semalam.

Dalam masa sama, Ustaz Kazim menganggap tindakan merehatkan Utaz Don daripada muncul di kaca televisyen (TV) sebagai satu kerugian besar.

Ini kerana, katanya, Ustaz Don mempunyai kelebihan dalam menarik minat ramai pihak terutama golongan muda untuk lebih mendekati agama melalui ceramahnya.

“Ustaz Don adalah anak murid saya sebelum ke Universiti Al-Azhar, Mesir. Dia seorang pendakwah yang mempunyai cara penyampaian mudah difahami.

“Anak-anak muda boleh ikut dengan bahasa sopan-santun dan lemah lembutnya. Dia berjaya menarik minat ramai orang.

“Bagi saya, perkara ini sebagai satu kerugian besar sekiranya Ustaz Don tidak lagi boleh bercakap menerusi saluran media utama.

“Memang ada media sosial, tapi orang tetap hendak lihat di saluran media utama seperti TV, radio dan sebagainya,” ujarnya.

Namun, Ustaz Kazim menganggap perkara menimpa Ustaz Don adalah asam garam yang perlu dilalui sebagai pendakwah.

Bahkan, katanya, dia juga pernah berdepan situasi ‘digam’ daripada menyampaikan ceramah suatu ketika dahulu.

“Mungkin ada penjernihan yang perlu dibuat oleh Ustaz Don.

“Ketika ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah memanggilnya dan Mufti Wilayah Persekutuan juga ada berikan kenyataan.

“Saya juga pernah kena ‘gam’. Namun, saya hormat keputusan itu dan harus perbetulkan semula kesilapan saya.

“Saya percaya, bila kita buat yang terbaik, saluran seperti TV dan radio akan panggil semula.

“Begitu juga dengan masyarakat,” kata Ustaz Kazim yang sudah memiliki pengalaman selama 34 tahun dalam bidang dakwah.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman mengesahkan Ustaz Don direhatkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah terbitan RTM.

Keputuan itu diambil susulan kenyataan kontroversi Ustaz Don dalam satu program radio yang mendakwa Nabi Muhammad pernah melamar seorang wanita bernama Ummu Hani sebanyak tiga kali.

Ustaz Don juga mendakwa Ummu Hani adalah cinta pertama Rasulullah yang kemudian dibetulkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bahawa sanad kepada hadis disebutkan itu mempunyai riwayat yang lemah.

BACA JUGA Bantu pemandu Axia terbabas, lain pula jadinya nasib bapa tiga cahaya mata ini

Â