Bantu pemandu Axia terbabas, lain pula jadinya nasib bapa tiga cahaya mata ini

Seorang bapa kepada tiga cahaya mata di Kota Tinggi, Johor maut dirempuh pikap ketika sedang membantu pemandu Perodua Axia yang terbabit dalam kemalangan.

Mohd Rafie Sofian Bordie, 35, meninggal dunia dalam nahas di Kilometer 18.8 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, kelmarin.

Menurut abangnya, Mohd Rais, 37, ketika kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, Mohd Rafie dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Rengit dari Bandar Penawar dan berhenti untuk membantu pemandu Perodua Axia yang terbabas.

“Ada saksi beritahu arwah orang pertama membantu mengeluarkan pemandu Perodua Axia yang terbalik dan membawanya ke kawasan selamat.

“Namun, mereka kembali semula ke kereta kerana pemandu Perodua Axia tertinggal telefon bimbitnya.

“Ketika pemandu masuk ke dalam kereta mencari telefon, adik berdiri di luar dan ketika itulah sebuah kenderaan lain melanggar adik.

“Sebelum itu arwah dikatakan sempat menasihatkan pemandu kereta supaya tidak berlengah kerana kawasan itu bahaya,” ujarnya, dipetik BH.

Jenazah bapa kepada tiga anak berusia baru setahun hingga enam tahun itu disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Raja, Pengerang, Kota Tinggi.

Mohd Rais menambah adiknya gemar membantu orang lain, termasuk yang tidak dikenali.

“Adik memang suka tolong orang, yang tak kenal pun dia suka tolong. Sifatnya memang begitu, gemar membantu tanpa mengira siapa pun,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata mangsa maut dilanggar Mitsubishi Triton dipandu lelaki tempatan berumur 27 tahun dari arah Sungai Renggit.

Jelasnya, mangsa ketika itu berada berhampiran Perodua Axia yang sebelum kejadian dipercayai terbabas sendiri.

BACA JUGA Pemuda Pas dakwa teraniaya kena siasat – Ada beza kritik dengan maki