Bekas Menteri Pendidikan era Mahathir meninggal dunia
Bekas Menteri Pendidikan yang juga bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Musa Mohamad dilapor meninggal dunia jam 7 malam tadi.
Timbalan Pendaftar USM, Mohamad Abdullah memaklumkan berita mengenai pemimpin era Tun Dr Mahathir Mohamad itu menerusi hantaran di Facebook.
“Mendapat khabar duka yang Naib Canselor USM ketiga, Tan Sri Musa Mohamad baru sahaja menghembuskan nafas terakhir.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan diletakkan bersama-sama hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” tulisnya.
Mohamad berkata, USM banyak terhutang budi kepada Allahyarham terutamanya dalam pembangunan fizikal dan akademik termasuk meletakkan asas yang kukuh kepada Pengajian Sains Perubatan dan Kejuruteraan.
“Seorang yang tegas dan berpandangan jauh, jovial, berprinsip serta berhati mulia.
“Secara peribadi saya banyak terhutang budi kepada beliau yang mencorakkan cara bekerja dan pemikiran sepanjang perkhidmatan di USM,” katanya.
Allahyarham Musa yang berkhidmat sebagai Naib Canselor USM dari 1982 hingga 1995 juga adalah seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO antara tahun 2000 hingga 2003.
Beliau menyandang jawatan Menteri Pendidikan ke-14 bermula 1999 hingga 2004.
BACA JUGA Status 7 wakil rakyat sokong PM, MB: MPT Bersatu sudah muktamad keputusan