Gaji permulaan lebih RM4,000 kepada lepasan TVET ditawar syarikat antarabangsa

Gaji permulaan lebih tinggi kepada lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sedia ditawarkan oleh pelbagai syarikat antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan pengurusan syarikat berkenaan, selain perjanjian persefahaman (MoU) bagi tujuan itu sudah dimeterai sebelum ini.

Menurut Pengerusi Majlis TVET Negara berkenaan, perkembangan itu berdasarkan realiti industri memerlukan pekerja berkemahiran yang boleh diperoleh menerusi TVET.

“Dalam pertemuan saya bersama beberapa syarikat antarabangsa, mereka maklumkan sanggup bayar gaji minimum lebih RM4,000 (AS$1,000).

“Ada MoU sudah kita meterai dengan syarikat berkenaan, aspek latihan akan mengikut keperluan syarikat dan kilang terbabit.

“Ia bagi mengelak ketidakpadanan serta pertindihan peluang pekerjaan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari TVET Negara dan Pelancaran Dasar TVET Negara 2030 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat, Selangor hari ini.

Ahmad Zahid mengulas keperluan kerajaan merangka dasar mewajibkan majikan swasta mengambil lepasan TVET sebagai tenaga kerja di organisasi mereka.

BACA JUGA Peruntukan kepada MP pembangkang: Takiyuddin jumpa Fadillah

Â