Selepas dikecam malah pihak berkuasa diminta siasat, taklimat sensitif ini ditangguh
Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang akhirnya menangguhkan majlis taklimat dan penerangan kewarganegaraan selepas dihujani kecaman orang ramai.
Malah, ada pengguna media sosial meminta pihak berkuasa menyiasat penganjuran acara yang dijadualkan 30 Jun depan kerana dibimbangi memberi pendatang asing taraf kewarganegaraan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng, berkata taklimat itu sebenarnya bagi menangani isu tidak memiliki status kewarganegaraan atau sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa, selain sebab-sebab lain.
Namun, ujarnya, penganjuran program itu menimbulkan salah faham ramai susulan penularan posternya.
“Oleh itu, Program Taklimat dan Penerangan Kewarganegaraan yang dijadualkan pada 30 Jun ditangguhkan.
“Taklimat berkenaan berkaitan isu tidak memiliki status kewarganegaraan adalah kerana beberapa punca seperti jika bapanya rakyat Malaysia dan ibu warga asing, perkahwinan tidak sah taraf dan tidak dapat didaftar di Malaysia.
“Anak yang lahir tidak mempunyai sijil kelahiran, ibu tidak dapat dikesan.
“Akibatnya anak tidak dapat bersekolah, sukar mencari pekerjaan tetap, tidak layak memiliki kenderaan dan lesen memandu, ia seterusnya dibimbangi membawa kepada masalah sosial.
“Dalam taklimat itu disediakan senarai dokumen diperlukan bagi setiap kes, selain penerangan untuk merujuk kepada jabatan terbabit yang perlu dikunjungi bagi menyelesaikan isu berkenaan,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial poster program kontroversi itu apabila mengundang kecaman awam.
Sehubungan itu, Kah Eng yang juga Setiausaha DAP meminta spekulasi tidak disebarkan berikutan salah faham yang timbul.
“Diharap tiada pihak menimbulkan spekulasi kerana ia berpunca daripada salah faham yang timbul dari tajuk poster kami,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Peruntukan kepada MP pembangkang: Takiyuddin jumpa Fadillah
Â