Ini baru satu Malaysia, pemandu lori Melayu fasih berbahasa Tamil curi tumpuan

Seorang pemandu lori berbangsa Melayu menarik perhatian ramai selepas kemampuannya menguasai dan fasih berbahasa tamil tular di media sosial TikTok.

Tidak dinafikan kepelbagaian kaum di Malaysia memberi kelebihan kepada sebilangan rakyat untuk menguasai lebih daripada dua bahasa selain bahasa kebangsaan dan Inggeris.

Bagi pemandu lori ini yang dikenali sebagai Jai, dia mula tular selepas menyanyikan lagu Tamil, Yennode Macha nyanyian Zubir Khan.

Dia bukan sahaja membuatkan ramai netizen Melayu kagum, bahkan mereka yang berbangsa India juga memuji kefasihan sebutannya.

Video nyanyiannya itu dikongsi melalui akaun TikTok @9tripleone yang sehingga kini mendapat 5.8 juta tontonan dan 256,000 tanda suka serta lebih 8,000 komen.

Tambah menarik perhatian apabila penyanyi asal lagu berkenaan iaitu Zubir turut meninggalkan komen di TikTok pemuda tersebut.

“Terbaik bang”, tulisnya.

Sementara itu dalam video lain, Jai memberitahu bahawa dia sebenarnya sejak kecil sudah bersekolah di sekolah Tamil iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Selaba, Teluk Intan, Perak.

BACA JUGA MetMalaysia beri amaran fenomena La Nina dijangka melanda bulan depan