Padah terima rasuah RM100,000 lindung rumah urut, Timbalan Pengarah PBT direman

Seorang Timbalan Pengarah PBT dan anggotanya direman selepas didakwa menerima rasuah secara bulanan daripada premis perniagaan rumah urut di ibu negara.

Menurut laporan media, suspek utama itu dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan antara RM100,000 hingga RM500,000 sejak beberapa bulan lalu daripada premis-premis yang menjalankan kegiatan rumah urut dan hiburan selain premis tanpa lesen sah.

Wang rasuah itu bagi membolehkan premis-premis perniagaan haram berkenaan beroperasi tanpa dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Dilaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan reman tiga penjawat awam dan seorang bekas penjawat awam.

Kesemua mereka direman selama tujuh hari sehingga 14 Jun 2024, manakala seorang suspek yang merupakan bekas anggota agensi penguat kuasa direman selama lima hari sehingga 12 Jun 2024.

Perintah reman terhadap kesemua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40-an dikeluarkan Majistret Shairil Farhana Ruslan selepas permohonan dibuat SPRM di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

“Susulan tangkapan ke atas suspek utama, SPRM kemudian menahan tiga individu lain kerana dipercayai turut menerima suapan dan berperanan sebagai orang tengah bagi mengagihkan wang rasuah kepada beberapa anggota-anggota penguat kuasa PBT,” kata sumber

Menerusi tangkapan itu, SPRM turut menyita wang tunai lebih RM200,000 selain barang kemas dan 28 keping wafer emas yang belum dikenal pasti anggaran nilai dan berat.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek berkenaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

BACA JUGA Ross Ariffin dapat keyboard dari Kementerian Komunikasi

Â