Kalau terlalu fikir pilihan raya, sampai bila-bila kita tak berani buat – Hasbie

Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Hasbie Muda menyifatkan pelaksanaan subsidi diesel bersasar oleh kerajaan adalah isu berkaitan kepentingan negara.

Beliau berkata, selepas 2020, semua parti politik dalam negara telah merasa menjadi kerajaan.

”Kalau dulu mereka pembangkang, maka mereka juga sudah pernah menjadi kerajaan.

”Apabila mereka jadi kerajaan, maka dia (akan) faham realiti.

”Apa-apa keputusan bukan daripada biro politik parti politik. Ia adalah kajian (yang dijalankan) oleh penjawat awam, pakar akademik dan mereka memberi kepada ahli politik yang memimpin negara untuk buat (laksanakan).

”Kita hanya memerlukan political will. Kalau kita tak berani dan terlalu fikir soal pilihan raya, memang sampai bila kita tak buat.

”Jadi saya nampak ia (subsidi diesel bersasar) adalah demi kepentingan negara,” katanya dalam rancangan temu bual di Bernama TV.

Dalam rancangan berkenaan, beliau yang juga Ketua Pemuda AMANAH turut menzahirkan rasa tertarik dengan kenyataan yang dikeluarkan Pas berkaitan subsidi diesel bersasar.

”Mereka positif dan kelihatan menyokong subsidi bersasar, cuma mereka melahirkan kebimbangan pelaksanaan itu mungkin ada kekurangan dan sebagainya.

”Tetapi semangat itu yang kita harapkan daripada semua parti terutamanya mungkin bekas-bekas perdana menteri kita menyokong.

”Ini kerana, kalau kita lihat ucapan-ucapan sewaktu mereka jadi PM, mereka mengeluarkan nada sama bahawa perlu kepada subsidi bersasar.

”Jadi janganlah apabila sudah tidak lagi menjadi PM, maka nada itu berubah kerana ini adalah kepentingan negara, bukan untuk survival mana-mana parti politik,” ujar beliau lagi.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan harga diesel akan diselaraskan mengikut pasaran semasa bermula semalam, dengan harga permulaan di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia, ditetapkan pada RM3.35 seliter.

Bagi mengimbangi kesan kenaikan itu, kerajaan mengamalkan penyasaran subsidi diesel melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0, termasuk menetapkan harga kepada sektor yang layak seperti logistik.

Selain itu, bantuan BUDI Madani diperuntukkan kepada individu yang layak, termasuk pemilik kenderaan diesel dan petani kecil.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pula dilaporkan berkata, penjimatan yang dianggarkan sebanyak RM4 billion daripada penyasaran subsidi diesel dijangka memberi ruang fiskal yang lebih luas kepada kerajaan dalam usaha mempertingkatkan lagi kualiti pelbagai perkhidmatan yang menjadi kepentingan kepada rakyat.

BACA JUGA Naikkan kadar bantuan Budi Madani, apa kata Timbalan Menteri Kewangan?