Naikkan kadar bantuan Budi Madani, apa kata Timbalan Menteri Kewangan?

Kerajaan sedia menimbang untuk menaikkan kadar bantuan Budi Madani yang kini berjumlah RM200, pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata ketika ini bantuan menampung penyasaran subsidi berkenaan adalah kekal.

“Buat masa sekarang jumlah ini adalah kekal sebanyak RM200. Kementerian Kewangan telah mengadakan kajian dan libat urus dengan banyak pihak dan merasakan jumlah ini adalah mencukupi,” katanya memetik BH Online.

Untuk rekod, Budi Madani adalah usaha kerajaan memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak.

Ia terbahagi kepada bantuan individu (BUDI Individu), petani serta pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi) dan syarikat serta kenderaan pengangkutan (MySubsidi Diesel).

Di bawah Belanjawan 2024, kerajaan komited untuk menyasar semula subsidi bahan api bagi mengekang aktiviti penyeludupan, penyelewengan dan ketirisan subsidi rakyat.

Dalam pada itu, Lim berkata kerajaan akan mengenakan had dan kuota dalam pengisian diesel melibatkan penggunaan ‘fleet card’ untuk Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Beliau menjelaskan, had ditetapkan adalah berdasarkan kapasiti liter dan bukannya jumlah.

“Terdapat had (pengisian) dari segi liter dan bukannya jumlah, tetapi saya fikir kita perlu tunggu pengumuman daripada menteri kewangan II.

“(Ketika ini) kita masih belum menetapkan berapa hadnya (pengisian),” ujar beliau lagi.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan bahawa harga diesel diselaraskan mengikut pasaran semasa bermula semalam, dengan harga permulaan diesel di Semenanjung ditetapkan RM3.35 seliter.

BACA JUGA Ini reaksi MB Pahang selepas Anwar datang ziarah di IJN