Rupanya ini jumlah sumbangan AAKRP disampaikan Menteri Luar untuk bantu rakyat Palestin

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini dalam rangka lawatan kerja ke Jordan mewakili rakyat Malaysia menyampaikan cek simbolik bernilai AS$1,000,000 kepada dua pertubuhan di Jordan bagi membantu rakyat Palestin di Gaza mendapatkan rawatan kanser.

Mohamad memaklumkan, kedua-dua pertubuhan itu adalah Pertubuhan Kebajikan Hashemite Jordan (JHCO) dan Pusat Kanser Raja Hussein (KHCC) dan setiap pertubuhan menerima AS$500,000.

“Pihak JHCO dan KHCC sangat menghargai sumbangan ini sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin.

“KHCC juga berharap dapat menjalin kerjasama dengan Persatuan Kanser Negara untuk memperkukuh usaha rawatan dan penyelidikan kanser di masa hadapan.

“Kedua-dua pertemuan ini menekankan komitmen Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan dan kesihatan kepada rakyat Palestin serta mengukuhkan kerjasama dengan institusi-institusi terkemuka di Jordan.

“Semoga kerjasama yang terjalin ini terus membawa harapan dan bantuan yang amat diperlukan oleh rakyat Palestin di Gaza,” katanya yang memaklumkan perkembangan itu menerusi Facebooknya.

Menurut Mohamad, sumbangan berkenaan adalah hasil solidariti dan keprihatinan rakyat Malaysia melalui sumbangan ke Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Katanya, Malaysia komited untuk bekerjasama dengan JHCO dalam usaha menghulurkan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin, kini dan pada masa akan datang.

“Dalam pertemuan dengan Setiausaha Agung JHCO, Dr Hussein Mohammad Al-Shebli, saya dimaklumkan bahawa JHCO menggunakan Jambatan Raja Hussein, satu-satunya laluan darat ke Gaza sejak penutupan pintu sempadan Rafah di Mesir pada 7 Mei, 2024.

“JHCO memainkan peranan penting dalam menguruskan penghantaran bantuan dari pelbagai organisasi antarabangsa dan negara penyumbang,” ujar beliau lagi.

Dalam catatannya itu, Mohamad memaklumkan beliau turut singgah melawat pusat rawatan kanser KHCC dan disambut mesra oleh Pengerusi Pemegang Amanah Puteri Ghida Talal.

Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Nisreen Qatamesh dan Pengarah Kutipan Sumbangan, Abeer Al-Maghrabi.

Menurut beliau lagi, KHCC yang ditubuhkan pada 1997, menyediakan rawatan kanser percuma dan penyelidikan bertaraf dunia.

BACA JUGA Naikkan kadar bantuan Budi Madani, apa kata Timbalan Menteri Kewangan?

Â