Suhakam tawarkan bantuan segera kepada komuniti Bajau Laut yang dipindahkan

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menawarkan bantuan segera kepada komuniti Bajau Laut yang dipindahkan ketika operasi perobohan penempatan masyarakat berkenaan baru-baru ini.

Menerusi kenyataan hari ini, Suhakam berkata, bantuan itu termasuk memastikan mereka mempunyai akses rumah sementara, penjagaan perubatan dan sumber pendidikan bagi meminimumkan gangguan terhadap kehidupan mereka.

“Kita menggalakkan dialog dan kolaborasi di antara kerajaan negeri, komuniti Bajau Laut dan pertubuhan kemanusiaan untuk membangun strategi mapan dan inklusif yang dapat menangani isu lebih luas tatkala menghormati hak dan maruah semua individu yang terlibat.

“Suhakam kekal komited untuk memantau situasi secara rapat dan mencari penyelesaian ke arah menegakkan hak asasi manusia,” menurut kenyataan itu.

Mengulas tindakan perobohan beberapa rumah sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan Sabah untuk meningkatkan keselamatan dan melindungi alam sekitar di kawasab Taman Marin Tun Sakaran, Suhakam mengakui keperluan untuk menilai kesan kemanusiaan yang lebih luas.

“Bajau Laut adalah komuniti yang unik dan terpinggir dari segi sejarah berdepan cabaran yang signifikan, termasuk akses yang terhad untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.

“Tatkala mengiktiraf hasrat kerajaan negeri untuk meningkatkan keselamatan, SUHAKAM menekankan kepentingan pendekatan seimbang untuk menangani keperluan segera mereka yang terjejas akibat tindakan perobohan itu,” kata kenyataan berkenaan.

BACA JUGA Ini reaksi MB Pahang selepas Anwar datang ziarah di IJN