KPDN akan pertimbang cadangan tambah senarai kenderaan layak guna subsidi diesel
Kerajaan akan mempertimbang cadangan memperluas jenis kenderaan pengangkutan barangan dalam senarai layak menikmati subsidi diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, susulan daripada pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, ada pihak telah mengemukakan permohonan terus kepada KPDN bagi mempertimbangkan beberapa tambahan jenis kenderaan pengangkutan barangan.
Katanya pertimbangan juga dibuat bagi meningkatkan kuota asas sedia ada di bawah SKDS 1.0 bagi jenis kenderaan pengangkutan awam seperti bas sekolah dan bas ekspres.
“KPDN sedang meneliti semua ini dan ia akan diangkat segera untuk pertimbangan Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel yang dianggotai oleh KPDN, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jawatankuasa itu akan mengemukakan syor bagi semua rayuan berkenaan untuk pertimbangan dan keputusan Jemaah Menteri.
Kementerian Pengangkutan sebelum ini memaklumkan, syarikat yang ingin memohon diesel bersubsidi SKDS 2.0 perlu memastikan kenderaan milik syarikat memenuhi 23 kategori kenderaan layak yang disenaraikan MOF.
Menerusi SKDS 2.0 ketika ini hanya membabitkan 23 kategori kenderaan layak beroperasi di Semenanjung iaitu antaranya kenderaan jenis Lori Rigid – Kargo Am, Penggerak Utama, Lori Rigid – Refrigerated, Lori Rigid – Tangki Tepung, Lori Rigid – Luton/Kotak, Window Van, Lori Rigid – Tangki Air dan Panel Van.
Jenis kenderaan lain yang turut disenaraikan ialah Lori Rigid – Minuman Botol, Lori Rigid – Curtainsider, Lori Food Catering, Lori Rigid – Hasil Pertanian, Lori Tangki Rigid – Minuman, Lori Rigid – Kandang Haiwan, Semi – Panel Van.
Selain itu, Lori Rigid – Kombinasi, Bas Perkhidmatan Bergerak, Lori Rigid – Open Platform, Van Perkhidmatan Bergerak, Bas Food Catering, Van Food Catering, Lori Rigid – Perkhidmatan Bergerak dan Lori Rigid – Sampah.
Sejak Isnin lalu, kerajaan menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter, sementara harga runcit bahan api berkenaan di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.