Uniknya nama model kereta elektrik pertama Proton

Proton Holdings Bhd (Proton) menamakan model kereta elektrik (EV) pertamanya sebagai e.MAS yang turut tampil dengan logo baharu.

Sebutan bagi jenama e.MAS adalah abjad e digabungkan dengan perkataan ‘mas’, di mana akronim itu bermaksud Electrifying Malaysia dan gabungan simbol ‘e’ untuk menandakan EV bersama-sama dengan singkatan MAS yang digunakan secara universal untuk Malaysia.

Nama itu juga mewakili matlamat Proton untuk meningkatkan mobiliti rakyat Malaysia dengan model EV baharunya.

Bagi mengaitkan jenama e.MAS kepada Proton, logo yang digunakan menampilkan paparan kepala harimau ‘tidak berkurung’ secara reka bentuk 2D yang selaras dengan aliran reka bentuk semasa untuk jenama EV yang cenderung kepada grafik yang lebih bersih dan kurang rumit.

Ia juga mengikatkan jenama baharu itu kepada logo PROTON yang menggunakan paparan yang sama tetapi pada format 3D untuk melambangkan syarikat bergerak ke hadapan ke arah kejayaan.

Jenama kereta nasional Proton hari ini mengambil satu lagi langkah dalam evolusinya sebagai pengeluar kenderaan dengan pelancaran rasmi jenama EV baharunya.

Jenama baharu itu akan dikenali sebagai e.MAS dan bakal digunakan pada model EV (kenderaan elektrik) Proton akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong, berkata pelancaran jenama dan logo e.MAS menandakan satu langkah penting dalam perjalanan PROTON ke arah melancarkan model EV sendiri.

“Sebagai sebuah syarikat yang terikat dengan perindustrian Malaysia, kami sedar bahawa kami bertanggungjawab untuk menyediakan penyelesaian mobiliti yang relevan dan mampu dimiliki kepada semua rakyat Malaysia.

“Oleh itu, Proton telah mempertimbangkan pendekatannya terhadap EV dengan teliti untuk membangunkan pangkalan pengetahuan dan memastikan kami mempunyai pemahaman yang menyeluruh tentang produk, teknologi dan keperluan pengguna sebelum jualan bermula,” katanya dalam ucapannya sempena pelancaran nama dan logo baharu EV pertama PROTON, di Subang Jaya hari ini.

Pelancaran e.MAS dan logo baharu ya disempurnakan Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar.

Pada majlis sama, turut diumumkan pelantikan 17 pengedar EV Proton pertama yang telah memeterai perjanjian pada awal hari ini.

Menurut Proton, permohonan kini dibuka untuk peniaga yang berminat menjadi pengedar dan sasaran awal adalah untuk membuka 30 cawangan menjelang 2025 dengan rancangan mengembangkan rangkaian jualan mengikut keperluan pasaran.

Chunrong berkata,sebagai jenama automotif pertama di Malaysia, adalah penting bagi PROTON untuk melabur dalam infrastruktur bagi menawarkan rangkaian perkhidmatan penuh kepada pembeli EV dan bukannya hanya menjual produk.

“Oleh itu, katanya, apabila model Proton e.MAS mula dijual, pelanggan boleh yakin bahawa setiap keperluan mereka akan diuruskan sama seperti pembeli model Proton semasa,” katanya.

Berikutan permulaan kerjasama dengan Geely pada 2017, rancangan telah dilaksanakan untuk memperkenalkan model Proton EV berikutan kejayaan model kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu syarikat itu yang mengembalikan PROTON kepada keuntungan.

Walaupun rancangan tertunda semasa pandemik COVID, aktiviti disambung semula dengan bertungkus-lumus dengan upcara menandatangan Memorandum Perjanjian (MOA) antara PROTON dan syarikat automobil, smart pada 19 Januari 2022.

Ia diikuti dengan pemeteraian Perjanjian Pengedaran Am (GDA) antara kedua-dua pihak pada 18 Ogos 2022 serta pembentukan PRO-NET pada 9 September tahun sama untuk menerajui jualan dan pengedaran kenderaan smart dan tawaran EV masa hadapan daripada PROTON.

Langkah seterusnya ialah tandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Gentari di Oktober 2022 untuk bekerjasama dalam mewujudkan infrastruktur pengecasan.

Ia turut diikuti dengan penghantaran 16 jurutera ke China pada Disember 2022 untuk Latihan Dalam Kerja (OJT) dalam EV dan bidang berkaitan seperti pengecasan dan servis.

BACA JUGA PRK Sungai Bakap: Ini peringatan PM kepada jemaah menteri