Budi Madani langkah tepat kerajaan jamin kebajikan golongan sasar
Majlis Pimpinan PKR Negeri Wilayah Persekutuan (MPN WP) percaya bahawa inisiatif kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi diesel adalah langkah tepat dalam usaha menyelamatkan negara daripada isu ketirisan wang rakyat.
Pengerusinya, Datuk Azman Abidin menyifatkan, langkah yang diambil kerajaan baru-baru ini dapat membendung isu penyeludupan diesel ke luar negara yang selama ini hanya membazirkan peruntukan subsidi kerajaan melalui aktiviti haram penyeludupan diesel.
”Sebahagian besar jumlah subsidi ini juga secara pukal diterima oleh pihak yang tidak sepatutnya.
”Golongan rentan sama sekali tidak terkesan dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ini kerana mereka layak menerima pembahagian semula subsidi dalam bentuk bantuan tunai yang mampu memberikan penjimatan semula kepada pengguna bahan api itu.
”Bantuan tersebut akan disalurkan semula kepada pengguna diesel yang layak, khususnya golongan individu berpendapatan rendah, petani dan pekebun kecil melalui Program Budi Madani bagi memastikan kebajikan rakyat kebanyakan kekal terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru katanya, tiada istilah penarikan semula subsidi kerana melalui platform Budi Madani, wadah itu dapat memastikan bantuan subsidi kepada golongan sasar dapat dilaksanakan dengan lebih efektif kepada rakyat yang memenuhi kriteria ditetapkan.
”Mereka yang berkelayakan diseru untuk melakukan permohonan melalui laman sesawang rasmi di https://budimadani.gov.my/.
”Keadilan Wilayah Persekutuan yakin bahawa langkah ini merupakan satu tekad politik yang berani oleh Kerajaan Perpaduan dan bakal membawa manfaat besar kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” ujar beliau lagi.
BACA JUGA Moderator ‘Tanyalah Ustaz’ rupanya anak Cikgu Joo
Â