Subsidi bersasar perlu dipertahan, sudah lama tersalur kepada golongan mewah

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mempertahankan keputusan Putrajaya melaksanakan penyasaran subsidi diesel walaupun mendapat tentangan banyak pihak.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan, keputusan kerajaan adalah wajar memandangkan sudah sedemikian lama kemudahan yang bernilai berbilion ringgit itu tersalur kepada golongan mewah.

Menurutnya subsidi pukal sememangnya sangat popular untuk memancing undi namun pelaksanaan tanpa mengira kategori pendapatan amat membebankan dan tidak kondusif untuk kemampanan kewangan negara.

“Subsidi bersasar adalah untuk memastikan golongan rakyat bawahan yang berpendapatan rendah didahulukan. Wang subsidi perlu disalur tepat kepada sasaran.

“Ketika subsidi dinilai semula, rakyat perlu memiliki maklumat yang tepat dan betul. Reaksi spontan tanpa mendapat maklumat yang benar akan terdedah kepada manipulasi politik berkepentingan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Seperti dalam sistem keadilan sosial Islam, katanya, golongan berpendapatan rendah harus terus dilindungi dari manipulasi pasaran bebas.

Tambah beliau, pihaknya menyokong rasionalisasi subsidi minyak diesel dimulakan dan keutamaan diberi kepada sektor pengangkutan awam.

Beliau berpendapat, keputusan yang dianggap tidak popular ini perlu dipertahankan.

“Memang ada implikasi politik diperguna untuk menaratifkan keputusan kerajaan sebagai anti rakyat. Akan tetapi kepentingan jangka panjang dalam konteks harga pasaran global semasa perlu diambilkira dan perlu diutamakan.

“Kami yakin pihak kerajaan telah mengambil kira semua aspek ketika keputusan ini dibuat. Mencapai matlamat keadilan sosio- ekonomi rakyat sekaligus memacu pembangunan negara,” ujarnya

BACA JUGA Penampilan terbaru Faisal Halim jadi bualan, nampak lain tak macam biasa