‘Bagi galak dulu…’, Sanusi kata akan lapor Rafizi kepada SPRM bila tiba masanya

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyahut cabaran Rafizi Ramli, menyatakan akan membuat laporan terhadap Timbalan Presiden PKR itu nanti.

Ia susulan dakwaan Sanusi bahawa ada anggota PKR dan DAP terlibat rasuah sehingga menjejaskan rancangan pembangunan negeri Pulau Pinang.

Bagaimanapun kata beliau, laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya akan dilakukan apabila tiba masanya nanti kerana buat masa ini beliau mahu membiarkan pihak terlibat berseronok terlebih dahulu.

“Bagi galak (seronok) dulu, terkinja-kinja, lompat-lompat dan terjun telaga apa dahulu (dan) selepas itu saya (akan) buat laporan.

“Jikalau saya (buat) laporan sekarang, (maka) mereka tidak akan kenalah,” katanya kepada media semalam.

Tambah Sanusi, beliau ingin membiarkan pihak terlibat leka dan lalai dengan perkara itu terlebih dahulu sebelum membuat laporan berkaitan.

Sebelum ini, Rafizi mencabar Sanusi membuat laporan berhubung dakwaan kononnya berlaku rasuah hingga menjejaskan pembangunan negeri itu.

Rafizi berkata, sekiranya benar dakwaan dibuat Sanusi itu, maka pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu perlu membuat laporan kepada SPRM.

BACA JUGA Tular notis naik harga perkhidmatan, semua syarikat akan dipanggil esok