‘Mengapa sampai jadi begini…’ – PM Anwar arah polis buat siasatan rapi
Perdana Menteri hari ini mengarahkan agar pihak polis menjalankan siasatan rapi terhadap semua kes yang mendapat perhatian umum terutamanya kes simbah asid terhadap Harimau Malaya, Faisal Halim dan pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Berucap di Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau memahami keresahan rakyat berhubung kezaliman terbabit.
Beliau juga tertanya dan ingin tahu bagaimana semuanya boleh jadi begini.
“Sekarang riuh rendah kes penderaan pemain bola sepak, kes pembunuhan seorang kanak-kanak OKU (Orang Kelainan Upaya), kita prihatin.
“Saya Perdana Menteri tetapi saya juga manusia saya juga nak tahu mengapa sampai jadi begini, siapa yang sampai hati boleh dera dan bunuh dengan kejam seorang anak.
“Kalau saya, saya nak polis jawab esok, tapi proses kena lalui. Kita tak peduli siapa tapi saya faham rakyat juga rasa resah,” katanya.
Menurutnya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain telah dipanggil beliau berhubung perkara tersebut.
“Sekarang ini dalam TikTok, semua jadi hakim. Serang dan menghukum terus kata kita melindungi. Apa yang melindungi?
“Saya pernah panggil Ketua Polis Negara ke pejabat, saya minta disegerakan. Kemudian semalam saya panggil Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, saya tidak boleh campur dengan kata cari jalan hukum orang ini.
“Tetapi Saya kata cari jalan siasat dengan rapi. Itu yang saya kata,” katanya.
BACA JUGA Saya tidak mahu jadi Perdana Menteri tapi lindungi perasuah