Pengendali bas sekolah jangan cuba naik tambang, ini risiko menanti kalau ingkar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan kepada semua pengendali bas sekolah agar tidak menaikkan tambang sesuka hati.

Lebih-lebih lagi untuk mereka yang mendapat ‘fleet card’ dan masih boleh menikmati subsidi bahan api diesel.

Anwar berkata, jika ada yang didapati cuba mengambil kesempatan dalam keadaan sudah pun mendapat subsidi, lesen syarikat kemungkinan besar akan ditarik.

“Kamu diberi subsidi (tapi) kamu naikkan (bayaran), kamu jaga-jaga.

“Saya tidak tahu orang lain, tapi bagi saya, kalau kamu naikkan juga dalam keadaan kamu dapat subsidi, kami tarik lesen kamu. Kalau tidak, anak-anak kita di sekolah terbeban.

“Kalau betul tak dapat (subsidi), mohon fleet card dan kita akan bayar,” katanya.

Sebelum ini Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan, semua pengusaha bas sekolah, bas ekspres dan bas persiaran masih lagi menikmati subsidi bahan api diesel, sekaligus tidak sepatutnya untuk pihak-pihak ini menaikkan kadar tambang.

Pengusaha bas telah diberikan kad fleet dan harga Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 menetapkan harga kekal pada RM1.88 seliter.

Sementara itu mengulas persoalan ramai pihak mengapa penyasaran subsidi diumum ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap, Anwar berkata, kerajaan tetap perlu hadapinya.

“Ada orang cadangkan ‘Anwar, tangguh lepas (PRK) Sungai Bakap’.

“Saya kata tidak, kita harus hadapi. Buat apa beri mesej yang salah (berkenaan subsidi)?” soalnya.

BACA JUGA Tular video lelaki acah samseng, tunjuk pistol buat pusingan U ‘haram’

Â